Pemimpin Umno tiba di WTC untuk siri mesyuarat 


Bung Mokhtar antara yang dilihat tiba di WTC untuk menghadiri mesyuarat tersebut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

BEBERAPA pemimpin Umno kelihatan tiba di ibu pejabat parti itu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur bagi menghadiri beberapa siri mesyuarat termasuk mesyuarat Biro Politik Umno dan Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT).

Antara yang kelihatan dan tiba seawal jam 11 pagi ialah Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin, Ahli MT Ab Rauf Yusoh dan Setiausaha Kerja Umno Mohd Sumali Reduan.

Turut hadir Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Bung Moktar Radin, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Noh Omar, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu Ahmad Said serta dua lagi Ahli MT iaitu Johari Abdul Ghani dan Ahmad Jazlan Yaakub.

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan menerusi ciapan di Twitter beliau malam tadi memaklumkan parti itu akan mengadakan mesyuarat Biro Politik Umno pada tengah hari diikuti mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada 3 petang.

Turut dijadualkan berlangsung hari ini adalah mesyuarat Dewan Tertinggi BN pada 8 malam.

Berdasarkan keputusan rasmi yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga 4.30 pagi tadi, BN hanya memperolehi 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Semalam Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi berkata parti itu menghormati keputusan rakyat dalam PRU15 serta menganggap ia satu isyarat besar kepada gabungan politik itu selain sedia menjadi jambatan bagi mengukuhkan hubungan baik antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Ahmad Zahid yang juga Presiden Umno berkata pada masa sama, BN juga bersedia mengetepikan perbezaan sentimen sesama ahli parti sebelum ini dan dalam masa terdekat, akan memberikan tumpuan mengembalikan kekuatan parti terutama dalam menangani cabaran semasa serta lebih memahami keperluan generasi baharu.

Keputusan rasmi yang dikeluarkan SPR menunjukkan Pakatan Harapan (PH) memenangi 76 kerusi manakala parti gabungannya DAP di Sarawak mendapat lima kerusi dan MUDA menang satu kerusi, menjadikan keseluruhan 82 kerusi Parlimen diperoleh gabungan itu.

Gabungan Perikatan Nasional (PN) dan PAS pula memperoleh 73 kerusi Parlimen selepas masing-masing menang 51 dan 22 kerusi, diikuti Gabungan Parti Sarawak (22), Gabungan Rakyat Sabah (6), Warisan (3), Parti Bangsa Malaysia (1) dan calon Bebas (2). – Bernama, 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen