Yang menang, yang kalah PRU15


Mustafa K. Anuar

73.89 peratus pengundi keluar membuang undi mereka yang menghasilkan keputusan bersejarah tiada satupun parti politik memperolehi majoriti mudah membentuk kerajaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

PILIHAN Raya Umum ke-15 yang menarik 73.89 peratusan orang keluar mengundi menghasilkan keputusan bersejarah, tiada pakatan politik berjaya membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Pakatan Harapan (bersama Muda) menang 82 kerusi, diikuti rapat Perikatan Nasional dengan 73 kerusi.

Barisan Nasional, Umno terutamanya, yang mendesak pilihan raya awal diadakan tersungkur teruk dengan hanya menang 30 kerusi, manakala Pejuang kalah semua, termasuklah Pengerusinya Dr Mahathir Mohamad.

YANG MENANG

PAS

Parti Islam itu yang berkempen atas slogan perpaduan ummah- sekaligus bermesraan dengan Umno dan Bersatu serentak- akhirnya mengukuhkan kekuatannya pada pilihan raya kali ini dengan bekerjasama dengan Bersatu dan Gerakan di bawah sepanduk Perikatan Nasional.

Ia menyapu bersih kerusi di Terengganu dan Kelantan menggunakan benderanya sendiri, menandakan yang jenama parti Islam itu terus diterima penduduk Pantai Timur serta di Kedah.

Kegagalan bekas setiausaha Majlis Syura PAS Mohd Khairuddin Aman Razali yang bertanding menggunakan tiket BN, misalnya, mencadangkan yang tsunami PAS tidak boleh lagi dipandang enteng.

Kejayaan besar parti itu membuktikan yang kekuatannya kini perlu diakui bukan sahaja di dalam PN tetapi juga dalam arena politik negara.

Ia turut membuktikan yang politik kaum dan agama membuahkan hasil, yang menjelaskan mengapa pemimpin Bersatu Muhyiddin Yassin terus menang besar -walaupun atau kerana- kenyataan Kristianisasi negara yang dibuatnya menjelang pengundian.

GPS

Gabungan Parti Sarawak yang menang selesa 22 kerusi adalah ‘kingmaker’ dalam situasi semasa Parlimen tergantung. Hanya masa akan menentukan sama ada GPS bersedia bekerjasama dengan PN yang kini mempunyai rakan parti Islam yang sangat kuat.

Pakatan Harapan 

Gabungan politik PKR, DAP dan Amanah yang bekerjasama dengan Muda meraih kejayaan di 91 kerusi, merosot berbanding yang dikecapinya pada pilihan raya lepas.

Walaupun PH berjaya mempertahankan kebanyakan kerusinya, perlu diingatkan yang Setiausaha Agung PH Saifuddin Nasution tewas di Kulim kepada calon PN Roslan Hashim, Nurul Izzah Anwar kehilangan kerusi legasi keluarganya di Permatang Pauh kepada calon PN Fawwaz Mat Jan yang menang dengan majoriti 5,272 undi.  

Tidak mempunyai jumlah kerusi Parlimen mencukupi bermakna PH perlu mencari kesepakatan dengan parti lain, terutamanya pakatan politik dari Borneo.

YANG KALAH

Barisan Nasional

BN di kedudukan ketiga pada pilihan raya kali ini, hanya menang 30 kerusi di bawah kepimpinan Ahmad Zahid Hamidi yang bergelumang dengan kes mahkamah.

Kesannya, kepimpinan Zahid dalam Umno kini tergugat dan ahli parti dijangka mendesaknya meletak jawatan kerana prestasi buruk BN.

Tindakan Zahid yang mengugurkan beberapa orang kuat Umno yang dilihat mesra Ismail Sabri Yaakob pada pilihan raya kali ini juga turut menyumbang kepada nasib buruk Umno.

Ismail Sabri kini sah memegang gelaran perdana menteri tersingkat dalam sejarah negara, manakala impian Khairy Jamaluddin menjadi perdana menteri hancur berkecai apabila tersungkur di Sungai Buloh.

Pejuang

Pengerusi Dr Mahathir Mohamad kalah teruk di tangan calon PN yang mendapat majoriti 13,518 undi sehingga hilang wang deposit apabila hanya meraih 4,566 undi.

Anaknya, Mukhriz, serta calon Gerakan Tanah Air lain turut kalah teruk, menimbulkan persoalan sama ada Pejuang dan GTA akan terus bertahan sebagai entiti politik selepas PRU15.

Pengkhianat PKR

Antara “Penggerak Langkah Sheraton” yang dibenam pada PRU15 adalah Mohamed Azmin Ali di Gombak yang kalah kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, dan juga Zuraida Kamaruddin yang bertanding atas tiket Parti Bangsa Malaysia.

Nampaknya pengundi tidak dapat memaafkan pengkhianatan kedua-dua mereka.

Dalam beberapa hari akan datang, negara akan menyaksikan kesibukan pakatan dan parti politik berunding untuk menentukan pihak mana yang mentadbir Malaysia, dan pengundi selepas menjalankan tanggungjawab akan menanti penuh debar. – 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen