Pengasas Theranos dihukum penjara 11 tahun tipu pelabur


Pengasas syarikat bioteknologi A Theranos, ElizabethS Holmes disabitkan bersalah atas empat tuduhan menipu pelabur. – Gambar AFP, 20 November, 2022.

PENGASAS syarikat bioteknologi Amerika Syarikat (AS) Theranos, Elizabeth Holmes dijatuhi hukuman penjara lebih 11 tahun kerana menipu pelabur dengan firma pemulanya di Lembah Silikon.

Holmes disabitkan bersalah atas empat tuduhan jenayah penipuan pada Januari, kerana memperdaya pelabur beliau telah membangunkan peranti perubatan revolusioner sebelum kejatuhan Theranos susulan pendedahan Wall Street Journal.

Pendakwa raya persekutuan AS Stephanie Hinds sebelum itu memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun ke atas Holmes. Mahkamah bagaimanapun menjatuhkan hukuman penjara 135 bulan.

“Selama hampir sedekad, Elizabeth Holmes menyebarkan pembohongan untuk menarik sekumpulan pelabur modal, besar dan kecil, dan penipuannya menyebabkan kerugian ratusan juta dolar,” katanya dalam satu kenyataan susulan keputusan mahkamah itu.

Hakim Daerah AS Edward Davila ketika membaca keputusan berkata Holmes, yang sedang hamil, tidak perlu menyerah dirinya sehingga April tahun depan.

Peguam Holmes berkata anak guamnya itu akan membuat rayuan terhadap sabitan.

Holmes sebelum ini menguar-uarkan  syarikatnya sedang menyempurnakan kit ujian yang mudah digunakan dan boleh menjalankan pelbagai diagnostik perubatan dengan hanya beberapa titik darah.

Wanita itu menjual idea kepada pelabur dengan ciptaan menggantikan ujian makmal yang mahal dengan kit murahnya.

Pendakwa raya ketika berhujah berkata Holmes tahu perantinya tidak menghasilkan keputusan yang tepat serta tidak boleh dipercayai, namun mendorong berpuluh-puluh pelabur untuk menyumbang hampir satu bilion dolar. – AFP, 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen