Anthony Wong, pengarah kelahiran Malaysia menang Golden Horse Taiwan


Lau Kok-rui, pengarah kelahiran Malaysia memenangi anugerah pengarah baru terbaik dan lakon layar asli terbaik menerusi filemnya The Sunny Side of the Street. – Gambar AFP, 20 November, 2022.

PELAKON veteran Hong Kong Anthony Wong menang Anugerah Golden Horse Taiwan pada Sabtu, sementara filem pendek China menang buat pertama kali sejak Beijing memboikot majlis itu kerana ketegangan politik.

Dianggap Oscar Cina, anugerah Golden Horse berlaku untuk tahun keempat tanpa kehadiran bintang China dan Hong Kong yang selama ini menjadi tarikan anugerah yang berlaku di Taipei itu.

Beijing secara rasmi memboikot majlis itu pada 2019 selepas seorang pengarah Taiwan memberi ucapan menyokong kemerdekaan pulau itu pada tahun sebelumnya.

China mendakwa Taiwan yang mempunyai pentadbiran sendiri sebagai wilayahnya dan menyenarai hitam mana-mana penghibur yang menyatakan sokongan kepada kemerdekaan pulau itu.

Wong dilaporkan diisytihar persona non grata oleh pihak berkuasa China kerana menyokong gerakan pro demokrasi Hong Kong, Umbrella Movement pada 2014 dan menyokong kemerdekaan pulau itu, tuduhan yang dinafikannya.

Beliau menang anugerah pelakon lelaki terbaik- kemenangan pertama selepas tiga kali pencalonan- atas peranannya sebagai pemandu teksi Hong Kong yang membantu seorang budak lelaki pelarian Pakistan dalam filem “The Sunny Side of the Street”.

“Saya fikir pengarah baru bawa tuah kepada saya dan saya patut hanya bekerja dengan pengarah baru untuk filem saya akan datang,” seloroh Wong pada majlis itu yang mengundang tawa hadirin.

Beliau merujuk kepada Lau Kok-rui, pengarah kelahiran Malaysia yang turut memenangi anugerah pengarah baru terbaik dan lakon layar asli terbaik.

“The Sunny Side of the Street” adalah salah satu daripada tujuh filem Hong Kong tahun ini yang bertanding.

Lima filem bebas China turut bertanding, walaupun masih tiada penghantaran filem penuh atau komersial utama.

Filem pendek dokumentari pengarah China Huang Shuli, “Will You Look at Me” satu-satunya filem China yang menang anugerah kali ini.

“Terlalu banyak ketakutan dalam dunia…tetapi saya percaya cinta akan mengatasinya,” kata Huang di majlis itu.

“Saya harap semua orang boleh terus bikin filem dan berdepan dunia dan diri sendiri dengan jujur”.

Terdapat dua pencalonan dari China pada 2020 dan 2021 dalam kategori dokumentari dan filem pendek animasi, tetapi ia tidak menang anugerah.

Filem Huang yang berkisar tentang penerimaan seorang ibu terhadap anak lelaki homoseksualnya adalah pemenang filem pendek terbaik Queer Palm di Festival Filem Cannes.

“Coo-Coo 043”, mengisahkan aktiviti lumba burung merpati di Taiwan menang anugerah filem terbaik dan pengarah orang asal Taiwan Laha Mebow menang anugerah pengarah terbaik untuk filem “Gaga”.

Pengarah pelakon veteran Taiwan Sylvia Chang juga menang anugerah pelakon wanita terbaik menerusi filem “A Light Never Goes Out”.

Filem aksi Hong Kong “Limbo” yang dicalonkan dalam 14 kategori hanya menang empat anugerah teknikal. – AFP, 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen