SEPANYOL mengusir seorang aktivis Muslim Moroco, yang dituduh menjadi salah seorang “penggalak utama” gerakan ultra konservatif Islam, Salafi, di Sepanyol, kata polis pada Sabtu.
Lelaki berusia 40 tahun itu diusir ke Moroco pada pagi Sabtu selepas ditahan beberapa minggu di pusat tahanan di Barcelona, kata sumber polis kepada AFP.
Pegawai menahan Mohamed Said Badaoui bulan lepas di wilayah Tarragona, di mana dia adalah presiden Persatuan Pembelaan Hak Komuniti Islam.
Mahkamah Sepanyol pada hujung Oktober meluluskan pengusiran itu disebabkan “penglibatannya dalam aktiviti yang bercanggah dengan keselamatan nasional” dan “aturan awam”.
Polis Sepanyol menganggap Badaoui sebagai “salah seorang penggalak utama Salafism di Sepanyol, yang berpengaruh besar meningkatkan radikalisasi yang berlaku di Tarragona” sejak dia berpindah ke negara itu, menurut penghakiman mahkamah.
Mereka juga menuduhnya “mengambil kesempatan” ke atas golongan bawah umur yang tiba di Sepanyol tanpa ditemani ibu bapa, “kebanyakannya berasal dari Moroco” untuk mempengaruhi mereka dengan “ajaran paling radikal Salafism”, yang mengalakkan pemeliharaan gaya hidup konservatif.
Badaoui menolak tuduhan itu. Dikenali ramai di wilayah Catalonia yang menjadi tempat tinggalnya hampir tiga dekad, dia mempromosi dirinya sebagai aktivis anti perkauman.
Dia menyokong parti utama pemisahan Catalonia yang mentadbir wilayah itu serta parti haluan kiri Podemos, kata pegawai kerajaan gabungan sosialis Perdana Menteri Pedro Sanchez. – AFP, 20 November, 2022.
Komen