Turkiye serang kawasan Kurdish di utara Syria


Serangan itu berlaku beberapa hari selepas Ankara menyalahkan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) kerana pengeboman maut di tengah Istanbul pada Ahad lepas. – Gambar AFP, 20 November, 2022.

TURKIYE melancarkan serangan udara ke atas beberapa bandar di utara Syria, termasuk di bandar Kobane pada Sabtu, kata pasukan tentera Kurdish dan kumpulan pemantau hak asasi di Britain.

Serangan itu berlaku beberapa hari selepas Ankara menyalahkan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) kerana pengeboman maut di tengah Istanbul pada Ahad lepas.

“#Kobane, bandar yang mengalahkan Isis, menjadi sasaran pengeboman tentera udara penjajah Turkiye,” kata Farhad Shami, jurucakap Pasukan Demokratik Syria (SDF) yang diterajui kaum Kurdish di Twitternya.

Turkiye menganggap Unit Perlindungan Rakyat Kurdish (YPG)- komponen utama SDF- adalah cabang PKK yang diharamkan.

Shahmi menambah yang terdapat juga serangan udara disasarkan ke atas dua perkampungan sarat penduduk di utara Aleppo dan wilayah tenggara Hassakeh.

Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Syria berpangkalan di Britain turut melaporkan yang tentera Turki melakukan lebih 20 serangan udara di dua wilayah itu. Kumpulan itu mempunyai rangkaian maklumat di seluruh Syria.

Kobane, bandar majoriti penduduk Kurdish di Syria terletak berhampiran sempadan Turkiye ditakluk Isis pada hujung 2014, sebelum pejuang Kurdish mengusir mereka setahun selepas itu.

PKK dan YPG menafikan mereka terlibat dalam serangan Istanbul yang menyaksikan enam orang maut.

Tetapi Menteri Dalam Negeri Turkiye Suleyman Soylu berkata Ankara percaya arahan serangan datangnya dari Kobane, yang dikawal pasukan bersenjata Kurdish Syria di utara Syria. – AFP, 20 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen