10 maut rusuhan terbaharu penjara Ecuador


Melalui Twitter, Presiden Ecuador Guillermo Lasso menyiarkan gambar banduan dengan tangan diikat dan yang lain terbaring terlentang di halaman penjara dan koridor. – Gambar Twitter, 19 November, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 10 orang maut pada Jumaat dalam rusuhan penjara terbaharu di Ecuador, di mana kira-kira 400 banduan terbunuh sejak tahun lepas, kata pihak berkuasa penjara.

Keganasan terjadi di penjara El Inca di utara ibu negara, Quito, sejurus selepas kerajaan berkata ia memindahkan dua banduan yang disyaki menjadi dalang di sebalik gangguan penjara sebelum ini ke penjara keselamatan maksimum.

Komander polis Victor Herrera memberitahu pemberita penjara telah dikawal, dengan kawalan keselamatan yang ketat dikerahkan ketika anggota forensik mengeluarkan mayat mereka yang terbunuh. Herrera berkata punca kematian “nampaknya kerana dicekik.”

Salah seorang daripada dua banduan yang penempatan semula mereka mencetuskan keganasan, ketua kumpulan Los Lobos Jonathan Bermudez, telah bertanggungjawab ke atas pembunuhan beramai-ramai di El Inca sebelum ini, menurut satu kenyataan pejabat presiden.

“Kami beritahu mereka kami tidak takut,” kata Presiden Guillermo Lasso mengenai pemindahan itu di Twitter pada Jumaat, memberi amaran tentang “nasib yang sama bagi mereka yang meneruskan percubaan untuk memecahkan keamanan rakyat Ecuador.”

Presiden turut menyiarkan gambar banduan dengan tangan diikat dan yang lain terbaring terlentang di halaman penjara dan koridor.

Pihak berkuasa penjara SNAI berkata “anggota pertubuhan jenayah ini (Los Lobos) melakukan tindakan balas yang ganas” susulan pemindahan Bermudez ke penjara lain.

“Kami akan terus bertindak tegas dan tanpa jemu untuk memerangi jenayah terancang, yang mengancam keselamatan dan keamanan rakyat Ecuador,” tambahnya.

Kadar pembunuhan di Ecuador hampir dua kali ganda pada 2021 kepada 14 setiap 100,000 penduduk, dan mencapai 18 setiap 100,000 antara Januari dan Oktober tahun ini, menurut data rasmi. – AFP, 19 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen