Pemilih muda ukir rekod, jumlah keluar mengundi PRU15 tertinggi


Keputusan PRU15 dijangka dicorakkan pengundi muda berdasarkan jumlah keluar pengundi yang nyata lebih tinggi berbanding PRU14. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 November, 2022.

PROSES kiraan undi bermula petang ini sebaik pengundian tamat yang menyaksikan 70% pemilih berdaftar menunaikan tanggungjawab setakat 4 petang, kata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Penjumlahan itu berlangsung bagi 221 kerusi Parlimen, kurang satu ekoran penangguhan pengundian di kerusi Padang Serai ke 7 Disember disebabkan kematian calonnya.

Penjumlahan juga berlangsung untuk 116 kerusi negeri, tidak termasuk kerusi Tioman kerana kematian seorang calonnya pagi ini menyebabkan pengundiannya juga ditangguh ke 7 Disember.

Penjumlahan di 11 pusat pengundian dalam kawasan Parlimen Baram juga digantung ekoran cuaca tidak baik, menurut suruhanjaya itu.

Keputusan dijangka dicorakkan pengundi muda berdasarkan jumlah keluar pengundi yang nyata lebih tinggi berbanding PRU14, walaupun peratusan keluar mengundi itu ditunjukkan lebih rendah.

Setakat jam 1 petang, sebanyak 50% pemilih keluar mengundi yang menunjukkan jumlah lebih dua juta pemilih berbanding angka pada waktu sama empat tahun lepas.

Sehingga 2 petang, angka keseluruhan keluar mengundi hari ini sudah mengatasi jumlah keseluruhan pengundi pada pilihan raya umum yang lalu.

SPR mengumumkan sehingga saat itu, lebih 12.28 juta pengundi sudah menunaikan tanggungjawab mereka di seluruh negara.

Jumlah itu meningkat berbanding seramai lebih 12.25 juta orang atau lebih kurang 82% daripada keseluruhan pengundi berdaftar yang keluar mengundi dalam PRU14.

Pada kali ini, jumlah pemilih berdaftar meningkat kepada lebih 21.17 juta pemilih dengan kira-kira separuh darinya pengundi muda, seramai 10.6 juta orang.

Pengundi muda itu ditakrif sebagai pemilih berusia 18 hingga 39 tahun di seluruh negara.

Ia terbahagi kepada dua segmen – seramai 1.39 juta pengundi berusia antara 18 hingga 20 tahun, dan 4.61 juta yang berusia antara 21 hingga 29 tahun.

Setakat jam 1 petang, sebanyak 50% pemilih keluar mengundi yang menunjukkan jumlah lebih dua juta pemilih berbanding angka pada waktu sama empat tahun lepas. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 19 November, 2022.

Pengundi segmen yang didaftarkan secara automatik itu layak mengundi buat kali pertama dalam PRN Johor pada Mac 2022 selepas pindaan perlembagaan.

Dalam PRN Johor segmen 18 hingga 20 tahun dilihat tidak minat untuk mengundi kerana dari keseluruhan 54.92% keluar mengundi, kurang 5% terdiri dari segmen tersebut.

Seramai lebih 173,000 pengundi dalam segmen itu layak mengundi dalam PRN tersebut yang menyaksikan kemenangan BN.

Dalam PRN Melaka yang berlangsung terdahulu pada Oktober 2021, beberapa saluran untuk pengundi muda dilaporkan masih kosong pada hari membuang undi walaupun sudah jam 11 pagi.

PRN tersebut juga dimenangi BN, yang merupakan medan pilihan raya pertama diadakan selepas parti itu menguasai Putrajaya semula melalui perdana menteri dari parti itu, Ismail Sabri Yaakob.

Jumlah keluar mengundi dalam kedua-dua PRN tersebut banyak merosot, sekitar 66% di Melaka dan kira-kira 55% di Johor menyebabkan trend sama ditunjukkan dalam PRU15.

PH percaya akan dapat menguasai Putrajaya semula dengan majoriti mudah sekiranya jumlah keluar mengundi melepasi paras 80% hari ini.

Badan tinjauan pilihan raya bagaimanapun meramalkan tiada mana-mana parti atau gabungan mampu mencapai majoriti mudah.

Badan seperti Ilham Centre hanya menjangka PH mengungguli sekurang-kurangnya 86 dari 222 keseluruhan kerusi Parlimen, sekiranya angka keluar mengundi itu dicapai.

Ia juga menjangka BN mampu memperoleh sekitar 51 kerusi, diikuti PN dengan 25 kerusi, tidak termasuk kerusi yang sengit dipertandingkan.

Satu lagi badan tinjauan Merdeka Centre juga menjangka 82 kerusi selamat di tangan PH manakala PN di tempat kedua dengan 43 kerusi.

Badan bebas itu turut meramalkan gabungan 15 kerusi selamat di tangan BN. – 19 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen