Media sosial tonjolkan kegagalan SPR jalankan pengundian


K. Kabilan

Aduan mengenai proses pengundian lambat dan terpaksa menunggu lama kedengaran menerusi media sosial. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 November, 2022.

BANYAK aduan terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diketengahkan di media sosial, dengan ramai yang mendakwa mereka perlu menunggu berjam-jam untuk membuang undi.

Ramai pengundi menyatakan kekecewaan kerana terpaksa menunggu lama, malah ada yang mndakwa terpaksa menunggu sehingga empat jam, mengatakan bahawa talian lain jauh lebih pantas daripada mereka.

Sekurang-kurangnya seorang calon membangkitkan isu berkenaan, menuduh SPR menggunakan muslihat kotor dan taktik penangguhan untuk mengecewakan pengundi.

Calon Pakatan Harapan untuk kerusi Parlimen Sungai Buloh R. Ramanan berkata pengundi di saluran 4 dan 5 di Kota Damansara tertakluk kepada proses pengesahan yang panjang.

Akibatnya pengundi terpaksa menunggu sehingga lima jam sebelum membuang undi, tambahnya.

“Orang ramai letih, tiada minuman, tiada makanan, tiada kerusi untuk duduk. Apa yang SPR cuba lakukan?” kata Ramanan kepada pemberita di SMK Seksyen 8, Kota Damansara.

“Kami menerima banyak aduan daripada ejen pengiraan undi dan pengundi bahawa SPR sengaja membuat mereka menunggu selama tiga hingga lima jam untuk mengundi,” katanya.

Aduan yang sama mengenai kelewatan dan barisan panjang turut kedengaran dari pusat mengundi di seluruh negara.

Seorang lagi calon, yang bertanding di kerusi Parlimen Kulai Teo Nie Ching dalam pada itu berkata pengundi di sana mengadu bahawa mereka diminta menulis nama dan nombor telefon sebelum memasuki bilik untuk membuang undi.

“Ini bertentangan dengan peraturan SPR. Pengundi tidak perlu memberikan nama dan nombor telefon mereka.

“Berdasarkan aduan kami, senarai itu telah dirobek,” katanya dalam Facebooknya.

Klip video tular di media sosial memaparkan pengundi meluahkan rasa marah kerana diminta mengundi di padang terbuka di Lembah Pantai.

Dalam klip lain, pengundi turut marah dengan penutupan pusat mengundi di Kuala Pilah pada pukul 2 petang.

Proses pengundian tamat pada jam 6 petang. – 19 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen