Mesir tahan pengacara televisyen ‘fitnah polis’


Mesir semakin giat bertindak ke atas media yang dianggap menerbitkan berita palsu menjelang pilihan raya negara itu.– Gambar AFP, 5 Mac, 2018.

PENDAKWARAYA Mesir menahan reman seorang pengacara televisyen terkenal negara itu selama empat hari kerana memfitnah polis, kata pegawai.

Khairy Ramadan, pengacara pro-kerajaan ditahan lewat Ahad selepas sebulan dia membincangkan isu gaji rendah pegawai polis menerusi rancangannya “Egypt Today”.

Memetik kenyataan isteri seorang pegawai polis, Ramadan membincangkan perbelanjaan bulanan keluarga polis bergaji AS$390 (RM1,523).

Keputusan untuk menahan penyampai itu dilakukan selepas pihak berkuasa memberi amaran akan memantau media dan bertindak ke atas sesiapa yang menghebahkan “berita palsu”.

Mesir akan mengadakan Pilihan Raya Presiden yang dijadualkan berlangsung pada 26-28 Mac, dan Presiden Abdel Fatah al-Sisi dilihat akan terus mengekalkan kuasanya.

Pendakwaraya pada Rabu lalu mengatakan akan memantau media dan media sosial “dalam perkembangan terbaru cubaan mengugat keselamatan negara dengan mengeluarkan berita palsu dan penipuan.”

Pendakwaraya diarahkan “mengambil tindakan sewajarnya di bawah undang-undang” terhadap “kenyataan palsu, berita dan khabar angin yang mengancam keselamatan awam atau mewujudkan ketakutan dalam rakyat.” – AFP, 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen