PM terbaik yang tidak pernah dimiliki rakyat Malaysia


SELAIN Musa Hitam, Anwar Ibrahim adalah antara perdana menteri terbaik yang tidak pernah dimiliki oleh Malaysia. Kedua-duanya, tokoh politik muda yang dipersia dan disingkirkan oleh seorang penguasa tua selama 22 tahun dan 22 bulan.

Musa memilih untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kemudian kalah dalam pertandingan Timbalan Presiden pada Pemilihan Umno 1987. Tiga tahun kemudian menjadi titik kendur Musa yang terpaksa akur dengan hegemoni dan monopoli pengaruh Dr Mahathir Mohamed dengan dilantik sebagai Utusan Khas Malaysia untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Berbeza dengan Musa, Anwar kekal melawan Mahathir dan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang telah menjadi sebahagian ‘institusi’ dalam politik Malaysia. Walau pun kerap diejek sebagai ‘PM tepi’ tetapi Anwar terbukti berjaya menjadikan Pakatan Harapan sebagai gabungan parti arus perdana politik Malaysia.

Anwar yang tidak pernah dikalahkan sebaliknya dipecat daripada Umno kemudian menjadi pemimpin paling berjaya menyaingi populariti Umno dan BN. Satu masa dahulu karismatik Anwar memuncak dalam Umno pada tahun 1993 dengan 95 peratus sokongan sehingga berjaya menumbangkan veteran Umno, Ghafar Baba yang lama berkhidmat sejak zaman Tunku Abdul Rahman yang dimalukan dengan 7 pencalon sahaja bagi mempertahankan jawatan Timbalan Presiden berbanding Anwar yang menerima sebanyak 137 daripada 145 pencalonan.

Pada percubaan pertama di luar kerajaan, Anwar melalui Barisan Alternatif (BA) gagal merobohkan penguasaan BN yang tidak popular pada 1998 kerana diselamatkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang tidak mengesahkan pendaftaran 680,000 pengundi baru yang diramalkan berpotensi memberikan saingan sengit di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak, Pahang, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.

SPR pada masa itu hanya mengesahkan senarai 551,898 pengundi baru yang mewakili 6.12% pemilih. Walau pun gagal disebabkan kebijakan Mahathir membubarkan parlimen lebih awal, Anwar telah berjaya merobohkan mitos BN sebagai satu-satunya kerajaan yang mampu memerintah sejak merdeka.

Anwar yang memimpin pakatan pembangkang berjaya mencipta rekod dengan merampas Terengganu pada PRU10, menafikan majoriti dua pertiga BN dan merampas Pulau Pinang, Perak dan Selangor pada PRU12.

Kemudian pada PRU13, BN kehilangan undi popular dengan hanya menerima 47.4% iaitu situasi terburuk selepas PRU 1969, pertambahan pengundi baru sebanyak 2.3 juta iaitu penambahan 21.5 peratus, peratusan keluar mengundi tertinggi sebanyak 84.5 peratus, kemampuan gabungan parti pembangkang menandingi kesemua 222 kerusi Dewan Rakyat dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Ternyata Anwar berjaya memberikan harapan baru dan pilihan alternatif kepada rakyat Malaysia selain berjaya merobohkan tembok BN sebagai satu-satunya parti pemerintah. Anwar pernah menjadi ‘Tuah’ dan ‘Jebat’ dalam sejarah politik Melayu serta dihormati lawan sehingga 15 ahli parlimen BN memberikan sokong menjadi PM pada tahun 2020.

Keberadaan di dalam dan di luar kerajaan telah menjadikan Anwar pemimpin paling ampuh dan berpengalaman untuk membawa negara keluar daripada krisis dan ketidakstabilan politik serta ekonomi. Anwar boleh mengembalikan reputasi dan kepercayaan dunia termasuk Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Eropah, Arab, Turki, India dan China yang boleh diterjemahkan dalam bentuk Pelaburan Langsung Asing (FDI).

Anwar tidak rugi apa-apa jika percubaan terakhirnya gagal sekali lagi tetapi rakyat Malaysia akan kerugian satu bakat besar dan seseorang yang bercita-cita tinggi dalam kerjaya politiknya dengan merit dan prestasi yang cukup baik. Sejarah juga telah membuktikan, sebaliknya ‘PM kebetulan’ seperti Hussein Onn berikutan kematian Razak Hussein dan Abdullah Badawi berikut pemecatan Anwar menjadi antara PM dengan prestasi terburuk dalam sejarah.

Begitu juga dengan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri yang hanya menjadi antara PM tersingkat dalam sejarah iaitu selama 17 bulan dan 14 bulan. Kembalinya Mahathir semula ke puncak kuasa sekadar menjadi sejarah PM tertua di dunia pada usia 93 tahun selepas menunggang kuda muda PH.

Anwar sebenarnya melawan dan kemudian dikalahkan oleh sistem gelap yang terancang daripada percaturan politik Umno 1998, kecurangan SPR pada 1999 sehinggalah kepada daulah terpendam yang mengagalkan sistem dua parti Pakatan Harapan berikutan pengkhianatan Langkah Sheraton pada 2020. Kegagalan reformasi institusi menjadikan isu persempadanan tidak sekata (malapportionment) dan penentuan sempadan pilihan raya (gerrymandering) terus memberikan kelebihan kepada BN sebagai bekas penguasa selama lebih enam dekad.

Cuma Anwar dan PH masih bernasib baik kerana terselamat daripada perancangan kerajaan PN dan BN untuk menangguhkan undi 18 dan Pendaftaran Pengundi Automatik (AVR)  yang digagalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuching pada tahun lalu.

Dengan pertambahan Undi 18 seramai 1,393,549 juta pengundi berusia antara 18-20 tahun iaitu sebahagian daripada 10.6 juta pengundi muda bawah 40 tahun yang membentuk blok populasi terbesar 50.4 peratus pengundi PRU15 maka generasi muda hari ini mungkin dapat menebus semula kegagalan generasi penghujung abad ke-20 berikutan sabotaj sistem dan institusi tirani.

Ketika Anwar sedang melawan  kebobrokan institusi dan sistem terancang, pengundi muda perlu melawan lupa. Langkah Tambun adalah keberanian terakhir Anwar untuk menjadi PM ke-10 dengan menawan kerusi-kerusi berisiko tinggi. Sesuatu yang tidak pernah dilakukan oleh Mahathir selama tujuh penggal di Kubang Pasu dan Najib selama sembilan penggal di Pekan, malah Ismail selama lima penggal di Bera, Zahid selama tujuh penggal di Bagan Datuk dan Muhyiddin selama sembilan penggal di Pagoh yang kekal selesa di kerusi selamat.

Anwar patut diberikan kredit kerana berusaha selama lebih 23 tahun dengan gigih dan tanpa lelah walau pun dengan tiga kali percubaan yang digagalkan. Kali ini, undi 18 dan anak muda sahaja yang menentukan Anwar sebagai PM terbaik yang pernah dimiliki oleh rakyat Malaysia atau pun sebaliknya pada 19 November ini. – 18 November, 2022.

Malaysia boleh! Kita Boleh!

* Faizal Riduan merupakan Perunding Dasar dan Polisi Awam serta pengkritik Anwar Ibrahim selama 14 tahun.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen