Kerusi Batu terus tarik perhatian sebelum hari mengundi


Noel Achariam

Poster bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan penyandangnya P Prabakaran digantung di kawasan Parlimen berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

MENJELANG hari mengundi esok perbalahan antara bekas Ahli Parlimen Batu Tian Chua dan penyandangnya P Prabakaran terus menjadi tontonan.

Ini selepas Tian Chua memutuskan untuk meneruskan tindakan undang-undang terhadap Prabakaran kerana memfitnah.

Isu itu dilaporkan secara meluas apabila Prabakaran mendakwa Tian Chua menghalang Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim daripada menjadi perdana menteri.

Dilaporkan Prabakaran didakwa berkata dakwaan Tian Chua “satu undi untuk saya (Tian Chua) adalah satu undi untuk Harapan” akan mengelirukan penyokong PH.

Walaupun pertikaian terbuka berterusan antara dua bekas rakan seperjuangan itu, Prabakaran tetap yakin beliau akan mengekalkan kerusi itu.

Beliau juga mengakui walaupun berterima kasih kepada Tian Chua kerana membantunya memenangi pilihan raya umum lalu, prinsip politik mereka kini berbeza.

Tambahnya Tian Chua memilih jalan yang salah untuk bertanding sebagai calon bebas dan itu juga menentang PH/PKR.

Lelaki berusia 26 tahun itu juga mengulangi bekas sekutu Tian Chua dari 2008 masih bersamanya (Prabakaran).

Tian Chua bagaimanapun berkata kepulangannya ke Batu sebagai calon Bebas adalah kerana janji yang dibuatnya kepada pengundi empat tahun lalu.

“Saya berjanji kepada pengundi Batu saya akan terus berkhidmat. Saya tidak akan meninggalkan Batu. Saya perlu tunaikan janji itu,” katanya.

Tian Chua berkata kepulangannya ke Batu sebagai calon Bebas adalah kerana janji yang dibuatnya kepada pengundi empat tahun lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

Prabakaran memenangi kerusi itu sebagai calon Bebas dengan sokongan Tian Chua pada pilihan raya 2018.

Tian Chua hilang kelayakan bertanding pada pilihan raya umum 2018 apabila didenda RM2,000 kerana menghina kehormatan seorang pegawai polis.

Pada 2018, Prabakaran memperoleh 38,125 undi, menewaskan Dominic Lau Hoe Chai dari BN (13,687), calon PAS Azhar Yahya (10,610) dan V.M. Panjamothy (383).

Pada PRU15 kerusi Batu menyaksikan pertembungan 10 penjuru tetapi masih tidak jelas siapa yang akan memenanginya.

Pemerhati politik bagaimanapun mempunyai pandangan berbeza tentang bagaimana keadaan akan berlaku di Batu.

Mereka melihat padang yang sesak, undi berpecah dan cabaran daripada bekas sekutu yang memberi cabaran kepada Prabakaran.

Pemerhati juga menyatakan Prabakara mempunyai peluang tinggi untuk menang berdasarkan perkhidmatannya di kawasan itu sejak 2018.

Mereka juga tidak menyangka Tian Chua akan berjaya sebagai seorang Bebas lebih-lebih lagi jika beliau tidak mempunyai jentera.

Mereka berkata kebanyakan calon lain akan kehilangan deposit.

P Prabakaran memenangi kerusi Parlimen Batu sebagai calon Bebas dengan sokongan Tian Chua pada pilihan raya 2018. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 November, 2022.

Turut merebut kerusi Batu ialah A. Kohilan Pillay dari Barisan Nasional, Azhar Yahya (Perikatan Nasional), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan) dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).

Calon Bebas lain ialah peguam Siti Kasim, pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharudin dan aktivis sosial Too Cheng Huat.

Pencabar yang berkemungkinan berdepan kekalahan teruk ialah Kohilan dan Siti Kasin.

Kohilan bergantung pada keretakan antara Tian Chua dan Prabakaran untuk membawanya menang esok.

Naib presiden MIC itu berkata pertelingkahan antara Prabakaran dan Tian Chua sebenarnya satu kelebihan baginya kerana undi berpecah. 

DUN Batu mempunyai anggaran 113,000 pengundi. Komposisi etniknya ialah Melayu membentuk 43%, diikuti Cina (30%), India (20%) dan lain-lain (7%). – 18 November 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen