SERANGAN udara tentera Filipina yang mensasarkan kumpulan militan di Marawi menyebabkan 11 anggota pasukan tentera yang sedang bertempur terbunuh, manakala tujuh lagi cedera, lapor AFP.
Setiausaha Pertahanan Delfin Lorenzana berkata, sekumpulan anggota tentera terkena serangan udara semalam.
Sebelum ini laporan menyebut yang 10 tentera terbunuh tetapi jurucakap tentera Brigadier Jeneral Restituto Padilla kemudiannya mengesahkan yang 11 tentera terbunuh.
Pihak tentera melancarkan serangan berterusan sejak Selasa minggu lalu ke atas bandar Marawi bagi menumpaskan militan yang menguasai bandar berkenaan.
Serangan dipertingkatkan dengan membabitkan tembakan roket dari helikopter ke atas anggota militan yang bersembunyi di kawasan perumahan dan menjadikan penduduk sebagai tebusan.
Menurut pihak berkuasa tempatan, kira-kira 2,000 orang awam kini terperangkap di dalam konflik itu.
Lorenzana sebelum ini beberapa kali memberi jaminan pengeboman dijalankan dengan teliti bagi mengelakkan korban dalam kalangan orang awam,
“Memang menyedihkan kerana di dalam peperangan kejadian sedemikian memang tidak dapat dielakkan,” kata Lorenzana, semalam semasa mengumumkan insiden menimpa pasukan keselamatan, lapor AFP.
Pertempuran bermula apabila pihak berkuasa menyerbu sebuah rumah bagi menangkap ketua militan, Isnilon Hapilon.
Disebabkan itu, pasukan terbabit terpaksa berdepan dengan tentangan militan mengawal Hapilon yang lengkap bersenjata. – 1 Jun, 2017.
Komen