Harga pengguna Jepun melonjak ke paras tertinggi pada Oktober


Harga pengguna Jepun meningkat 3.6% pada Oktober berbanding tahun sebelumnya sekali gus menandakan paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun berikutan kelemahan yen. – Gambar AFP, 18 November, 2022. 

HARGA pengguna Jepun meningkat 3.6% pada Oktober berbanding tahun sebelumnya sekali gus menandakan paras tertinggi dalam tempoh 40 tahun berikutan kelemahan yen menyebabkan kos tenaga melambung tinggi.

Xinhua melaporkan indeks harga pengguna teras di seluruh negara yang tidak termasuk barangan makanan segar meningkat untuk bulan ke-14 berturut-turut mengatasi ramalan kenaikan 3.5% oleh pakar ekonomi di Tokyo, memetik satu laporan pada Jumaat.

Data terkini menunjukkan inflasi di Jepun mencecah paras tertinggi sejak Februari 1982 susulan kenaikan 3.0% pada September dan sekali lagi mengatasi sasaran 2% oleh Bank of Japan (BOJ) .

CPI kekal pada sasaran 2% BOJ selama tujuh bulan berturut-turut tetapi bank pusat Jepun itu percaya krisis inflasi global semasa bersifat sementara.

Komitmen bank terhadap dasar monetari mudah, dilihat berbeza dengan bank pusat utama lain yang secara agresif menaikkan kadar faedah bagi mengawal inflasi yang melambung tinggi.

Jurang kadar faedah yang semakin melebar antara BOJ dan rakan setara globalnya khususnya Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengakibatkan mata wang Jepun jatuh ke paras terendah dalam tempoh 32 tahun berbanding dolar AS.

Kelemahan berterusan yen sejak kebelakangan ini menyumbang kepada peningkatan kos import bagi produk tenaga termasuk gas asli cair dan arang batu serta produk makanan dan kesan buruknya kini dirasai isi rumah miskin di Jepun. – Bernama, 18 November, 2022. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen