Guatemala pindah kedutaan ke Baitulmaqdis pada Mei


Hanya tujuh negara kecil- termasuk Guatemala dan Honduras- berpihak kepada Amerika Syarikat dan Israel dalam resolusi tidak terikat PBB dilakukan pada 21 Disember lepas yang menolak keputusan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel. – Gambar AFP, 5 Mac, 2018.

GUATEMALA akan memindahkan kedutaannya di Israel ke Baitulmaqdis pada Mei ini, dua hari selepas Amerika Syarikat memindahkan kedutaannya.

Presiden Guatemala Jimmy Morales memberitahu hadirin semalam yang selaku “keputusan berdaulat, kami mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.”

Bercakap di persidangan tahunan Jawatankuasa Hal Ehwal Awam Amerika Israel (Aipac), sebuah kumpulan pelobi pro-Israel yang berpengaruh, beliau mengatakan: “Di bawah arahan saya, dua hari selepas Amerika Syarikat memindahkan kedutaannya, Guatemala akan memindahkan kedutaannya secara tetap ke Baitulmaqdis.

“Saya mahu berterima kasih kepada Presiden (Donald) Trump kerana membuka jalan.”

Disember lalu, Trump memutuskan untuk memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis, tindakan yang menarik kecaman dunia kerana dianggap menghancurkan harapan rundingan damai di Timur Tengah.

Tidak lama selepas keputusan itu, Guatemala mengikut tindakan AS, menjadi negara pertama berbuat demikian.

“Keputusan ini adalah bukti kukuh tentang sokongan dan solidariti berterusan Guatemala kepada rakyat Israel,” kata Morales kepada Aipac.

“Kami pasti lebih ramai negara akan ikut jejak kami.”

Hanya tujuh negara kecil- termasuk Guatemala dan Honduras- berpihak kepada Amerika Syarikat dan Israel dalam resolusi tidak terikat PBB dilakukan pada 21 Disember lepas yang menolak keputusan Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

White House merancang membuka kedutaan di kawasan menjadi rebutan itu pada 14 Mei, sempena ulang tahun ke-70 pembentukan Israel.

Israel dan Palestin masing-masing menuntut hak Baitulmaqdis sebagai ibu kota negara mereka.

Konsensus dunia sekian lama mengatakan status kota itu perlu diselesaikan dalam rundingan damai dua negara antara Israel dan Palestin. – AFP, 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen