KEBAKARAN besar yang melanda sebuah rumah di utara Kota Gaza yang menyimpan bahan api, mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang termasuk tujuh kanak-kanak pada Khamis, kata sumber rasmi dan perubatan.
Menurut Hamas anggota bomba berjaya mengawal kebakaran di Jabalia.
Unit pertahanan awam Gaza mengesahkan dalam satu kenyataan yang 21 orang telah terbunuh.
Ketua Hospital Indonesia di Jabalia, Saleh Abu Laila, memberitahu AFP kemudahan itu menerima sekurang-kurangnya tujuh mayat kanak-kanak.
Walaupun punca kebakaran masih tidak diketahui, jurucakap unit pertahanan awam memberitahu AFP yang bekalan bahan api disimpan di dalam rumah.
Presiden Palestin Mahmud Abbas menganggap kebakaran itu sebagai “tragedi negara”, kata jurucakapnya.
Abbas mengisytiharkan hari berkabung pada Jumaat, dengan bendera dikibarkan separuh tiang, dan menawarkan untuk menghantar bantuan kepada keluarga mangsa untuk “meringankan penderitaan mereka”, kata jurucakap Nabil Abu Rudeineh dalam satu kenyataan.
Pegawai kanan PA Hussein Al Sheikh menggesa Israel membuka laluan Erez yang menghubungkan Gaza dengan selatan Israel dan biasanya ditutup pada waktu malam.
Ini akan membolehkan pesakit yang cedera parah dibawa ke luar Semenanjung Gaza jika memerlukan rawatan, kata Al Sheikh.
Menteri Pertahanan Israel Benny Gantz menulis tweet yang kakitangannya akan membantu dengan “pemindahan kemanusiaan mereka yang cedera ke hospital (Israel),”, menyatakan simpati terhadap “bencana serius” di Gaza.
Jabalia ialah kem pelarian, tetapi seperti kebanyakan kem rakyat Palestin, kini termasuk bangunan besar dan dalam banyak aspek menyerupai sebuah bandar.
Gaza mempunyai penduduk 2.3 juta orang, berada di bawah sekatan Israel sejak 2007, satu langkah yang menurut Israel perlu untuk membendung ancaman daripada kumpulan bersenjata di kawasan itu.
Memandangkan bekalan elektrik yang tidak mencukupi, kebakaran sering berlaku kerana penduduk Gaza mencari sumber alternatif untuk memasak dan cahaya, termasuk lampu minyak tanah.
Tahun ini Gaza menerima purata 12 jam bekalan elektrik setiap hari, meningkat daripada hanya tujuh jam lima tahun lalu, menurut data Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Bahaya baru timbul pada musim sejuk apabila ramai orang membakar arang batu untuk memanaskan badan.
Hamas berkata siasatan sedang dijalankan untuk menentukan punca. – AFP, 18 November, 2022.
Komen