Korea Selatan, Arab Saudi setuju perkukuh kerjasama


Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Korea Selatan sempena ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara. – Gambar AFP, 18 November, 2022.

PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk-yeol dan Putera Mahkota Saudi Mohammed bin Salman yang bertemu pada Khamis menyatakan harapan untuk meningkatkan kerjasama dalam bidang infrastruktur, tenaga dan pertahanan, kata pejabat presiden.

Pemimpin Arab Saudi itu dalam rangka lawatan rasmi sehari ke Korea Selatan sempena ulang tahun ke-60 terjalinnya hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

“Beliau (Yoon) mengharapkan kedua-dua negara mengembangkan dan membangunkan kerjasama pelaburan mereka dalam bidang pertumbuhan baharu, penyertaan dalam projek mega seperti Neom, kerjasama industri pertahanan, pembangunan hidrogen dan tenaga masa depan yang lain serta kerjasama dalam pertukaran budaya dan pelancongan,” kata pejabat itu, lapor Sputnik, seperti dipetik oleh agensi berita Korea Selatan, Yonhap.

Yoon berkata Arab Saudi adalah rakan kongsi utama ekonomi dan jaminan tenaga Korea Selatan manakala Riyadh merupakan rakan dagangan terbesar Seoul di Timur Tengah.

Mohammed bin Salman turut memperakui sumbangan besar syarikat Korea Selatan dalam infrastruktur Arab Saudi dan menyatakan hasratnya untuk mengukuhkan kerjasama dengan Korea Selatan dalam bidang tenaga, pertahanan, infrastruktur, dan pembinaan.

Kedua-dua pemimpin itu juga mengutuk sekeras-kerasnya ujian peluru berpandu Korea Utara baru-baru ini dan bersetuju untuk bertindak balas dengan keras jika Korea Utara menjalankan ujian nuklear ketujuh atau provokasi serius lain, tambah agensi berita itu.

Pada hari yang sama, Menteri Industri Korea Selatan Lee Chang-yang dan Menteri Pelaburan Saudi Khalid Al-Falih, serta wakil perniagaan dari kedua-dua negara turut membincangkan cara untuk memperkukuh perkongsian ekonomi mereka.

Kedua-dua negara mengadakan forum pelaburan dan menandatangani memorandum persefahaman bertujuan meluaskan kerjasama dan pelaburan dalam pelbagai sektor, termasuk perubahan iklim, teknologi angkasa, dan bioteknologi, kata kementerian industri Korea Selatan, seperti yang dipetik oleh Yonhap.

Secara khususnya, syarikat penapis minyak utama Saudi S-Oil telah menandatangani tiga memorandum persefahaman dengan firma pembinaan Korea Selatan untuk kerrja-kerja kejuruteraan, perolehan dan pembinaan sebagai sebahagian daripada projek petrokimia Shaheen di bandar Ulsan, Korea Selatan.

Projek AS$7 bilion itu akan menjadi pelaburan asing terbesar untuk Korea Selatan, kata agensi berita itu.

Perjanjian lain termasuk memorandum persefahaman antara Kementerian Pelaburan Saudi dan Hyundai-Rotem Co untuk projek kereta api di bandar pintar Neom di Arab Saudi dan perjanjian dengan Lotte Fine Chemical Co untuk projek kimia.

Selain itu, Samsung C&T Corp dan Saudi Public Investment Fund menandatangani perjanjian mengenai perniagaan modular dan pembangunan hidrogen hijau. – Bernama, 18 November, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen