PRU15 bukan soal tukar PM tetapi selamatkan negara, kata Anwar


Noel Achariam

Pengerusi Pakatan Harapan Anwar Ibrahim berkata PRU15 bukan untuk menukar perdana menteri tetapi untuk melakukan perubahan menyeluruh bagi memulihkan negara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

PENGERUSI Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim menggesa semua rakyat Malaysia untuk melaksanakan hak demokrasi mereka semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ini adalah peluang terbaik untuk menyelamatkan negara.

Beliau berkata pemilihan kali ini bukan untuk menukar perdana menteri tetapi untuk melakukan perubahan menyeluruh bagi memulihkan negara.

“Tiap lima tahun sekali saudara punyai kuasa untuk menentukan ke mana hala tuju negara. Tiap lima tahun sekali saudara punyai kuasa untuk menentukan kerajaan bagaimana yang saudara impikan.

“Manfaatkanlah kuasa demokrasi di tangan saudara dengan sebaik mungkin,” katanya dalam ucapan khas. 

Anwar berkata tugas kerajaan adalah memastikan negara diurus dengan penuh tanggungjawab dan dana awam tidak dibazirkan dengan amalan rasuah.

“Adalah menjadi kewajiban pemerintah dalam memastikan negara dan khazanah diurus dengan sikap yang bertanggungjawab, dan memastikan wang rakyat tidak dihalakan ke arah pembaziran dan kebejatan, selain menjamin asas hidup seperti sekolah yang baik, bekalan makanan yang mencukupi, doktor dan para perawat yang berkemahiran, serta akses yang adil kepada sistem kesihatan,” katanya.

Anwar yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen Tambun di Perak berkata rakyat Malaysia boleh merealisasikan semua impian ini dengan kerajaan yang stabil.

“Sebuah kerajaan itu akan menjadi stabil jika ia patuh pada perlembagaan. Ini termasuklah memelihara agama Islam sebagai agama persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, penetapan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera serta kedaulatan Raja-Raja Melayu. 

“Sementara itu hak setiap rakyat berbilang kaum akan terus dipelihara dan maruah mereka dihormati laksana sebuah keluarga,” katanya.

Tambahnya sesebuah kerajaan akan menjadi stabil sekiranya pemimpinnya berkhidmat demi rakyat dan bukan untuk kepentingan diri sendiri.

“Sebuah kerajaan itu akan menjadi stabil jika para pemimpinnya berkhidmat demi rakyat, bukan untuk kepentingan diri sendiri. Sebuah kerajaan itu akan menjadi stabil jika pemimpinnya punyai akhlak, menolak rasuah dan menjunjung kedaulatan undang-undang.

“Selepas Harapan mengambil alih kerajaan saya tidak sesekali akan mengizinkan bertunasnya kebencian. Saya tegaskan bahawa sikap permusuhan dan kebencian sesama kaum tidak ada tempat dalam negara kita,” katanya. – 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen