TURKI melancarkan operasi menyasarkan kumpulan pelampau Negara Islam Syria dan Iraq (IS) dan meningkatkan keselamatan di Ankara selepas Kedutaan Amerika Syarikat mengatakan ia akan menutup operasi selama sehari.
Pendakwaraya Ankara mengatakan 12 suspek ditahan selepas 20 waran tangkap dikeluarkan dalam operasi menghapuskan IS, lapor media negara itu, Anadolu.
Mereka yang ditahan adalah warga asing yang cuba merekrut untuk IS, lapor Anadolu, menambah yang suspek itu mempunyai hubungan dengan pengganas di zon berkonflik.
IS hilang kawasan di kawal mereka di sempadan Iraq dan Syria selepas operasi ketenteraan diketuai AS melancarkan serangan tetapi masih lagi bertapak di beberapa kawasan kecil di Syria.
Kedutaan AS mengatakan ia akan menutup operasi hari ini disebabkan “ancaman keselamatan” tetapi tidak memberikan butiran lanjut.
Pejabat Gabenor Ankara dalam satu kenyataan mengatakan ia sudah mengambil “langkah keselamatan tambahan” selepas sumber AS memberikan maklumat risikan kepada agensi perisikan Turki tentang kemungkinan serangan pengganas ke atas kedutaan dan kawasan penempatan ramai warga Amerika.
Kedutaan AS terletak di tengah pusat bandar berhampiran Parlimen.
Menerusi laman sesawangnya, kedutaan menggesa rakyat Amerika untuk “menjauhi kawasan ramai orang”.
Kedutaan itu merupakan sasaran pengebom bunuh diri pada 2013 yang dilakukan kumpulan haluan kiri menyebabkan seorang pegawai keselamatan rakyat Turki terbunuh.
Turki diserang beberapa kali pada 2015 dan 2016 serta yang terbaru pada 2017 yang dikatakan dilakukan IS dan pemberontak Kurdish. Ratusan orang terbunuh.
Serangan terakhir dilakukan IS berlaku pada malam tahun baru 2017 apabila seorang lelaki bersenjata menembak mati 39 orang di sebuah kelab malam elit di Reina.
Polis Turki sering melakukan operasi menangkap pengganas IS di seluruh negara termasuklah kali terakhir pada bulan lepas, menahan 29 orang warga asing di Istanbul kerana mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas itu.
Hubungan Turki dan AS tegang disebabkan beberapa isu termasuklah sokongan Washington kepada pemberontak Kurdish yang dianggap Ankara sebagai pengganas. – AFP, 5 Mac, 2018.
Komen