Pemimpin perniagaan Korea Selatan bertemu putera mahkota Arab Saudi


Mohammed bin Salman, pemerintah Arab Saudi tiba di Seoul awal Khamis untuk lawatan dua hari. – Gambar EPA, 17 November, 2022.

PEMIMPIN perniagaan Korea Selatan akan bertemu Putera Mahkota Arab Saudi Mohammed bin Salman di Seoul pada petang Khamis untuk membincangkan kerjasama perniagaan, termasuk pembinaan sebuah bandar mega futuristik di Arab Saudi, lapor Yonhap.

Pengerusi Eksekutif Samsung Electronics Lee Jae-yong, Pengerusi Kumpulan SK Chey Tae-won dan Pengerusi Hyundai Motor Group Euisun Chung adalah antara pemimpin perniagaan Korea Selatan yang dijadual mengadakan pertemuan dengan putera mahkota di sebuah hotel di pusat bandar Seoul.

Syarikat Korea Selatan sedang berusaha untuk mengambil bahagian dan memenangi tawaran pembinaan projek AS$500 bilion Arab Saudi, yang dikenali sebagai Neom, sebuah bandar moden dan mampan yang dikendalikan oleh robot dan dikuasakan oleh tenaga solar, di wilayah Tabuk di barat laut Arab Saudi.

Projek itu diumumkan oleh putera mahkota semasa persidangan pelaburan di Riyadh pada 2017.

Mohammed bin Salman, pemerintah Arab Saudi itu tiba di Seoul awal Khamis untuk lawatan dua hari.

Lawatan pertama dan kali terakhir beliau ke negara itu adalah pada Jun 2019, dan ketika itu beliau turut bertemu ketua-ketua perniagaan Korea Selatan, termasuk Lee dari Samsung.

Putera mahkota Arab Saudi berusaha untuk membentuk semula ekonomi negaranya menerusi inisiatif Wawasan 2030, termasuk projek Neom, untuk beralih daripada minyak selain meningkatkan pelaburan dan pelancongan asing.

Pada Jun, konsortium Samsung C&T Corp., unit pembinaan Kumpulan Samsung dan Hyundai Engineering & Construction Co., memenangi sebahagian kontrak gerudi dan terowong projek Neom.

Walaupun jumlah sebenar kontrak itu tidak diumumkan, ia dianggap antara projek infrastruktur pengangkutan dan utiliti terbesar di dunia. – Bernama, 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen