PIHAK berkuasa India hari ini menutup sekolah dan menggantung perkhidmatan Internet di seluruh Kashmir selepas tentera membunuh sekurang-kurangnya enam orang termasuk empat dipercayai orang awam di wilayah bergolak itu.
Jurucakap tentera Kolonel Rajesh Kalia berkata pos pemeriksaan tentera dibakar petang semalam di Shopian, wilayah selatan di Kashmir, mencetuskan kekecohan dan menyebabkan empat mati.
Salah seorang yang terbunuh disyaki militan dan senjata ditemui di tempat kejadian, kata Kalia.
Tiga yang lain didapati maut di dalam sebuah kereta tidak jauh dari situ. Tentera menyifatkan mereka sebagai rakan subahat tetapi polis masih menyiasat dakwaan itu.
Polis kemudian mendapati seorang lagi dipercayai orang awam turut maut dalam sebuah kereta berasingan.
Mangsa keenam ditemui hari ini dan polis mengenal pasti sebagai suspek militan tetapi tiada senjata ditemui bersama mayat.
Insiden tembakan itu menyebabkan penduduk tempatan berang, dan berkata orang awam bukannya pejuang. Sekutu kepada pihak pemisah menentang pemerintahan India dalam perbalahan wilayah Himalaya yang menyebabkan bantahan besar-besaran.
Pihak berkuasa mengarahkan sekolah dan kedai ditutup pada hari ini susulan kebimbangan keadaan tidak stabil akan menyebabkan lebih banyak kejadian keganasan, dan semua perkhidmatan Internet digantung di seluruh Lembah Kashmir.
Orang awam biasanya melanggar perintah berkurung untuk menyertai himpunan apabila berlakunya militan terbunuh atau berlaku tembakan, membaling batu dan melaungkan slogan anti India.
Kashmir terbahagi sejak berakhirnya pemerintahan penjajahan British pada 1947. India dan Pakistan masing-masing mentadbir sebahagian wilayah itu.
Kumpulan pemberontak mendesak kemerdekaan untuk Kashmir atau bergabung dengan Pakistan, dan sudah berperang dengan askar India sejak 1989, menyebabkan puluhan ribu maut – kebanyakannya orang awam.
Kira-kira setengah juta tentera India dihantar ke daerah majoriti Muslim itu, di mana lebih 200 suspek militan dan kira-kira 60 orang awam terbunuh pada tahun lalu. – AFP, 5 Mac, 2018.
Komen