‘Kekosongan’ tak dijangka angkat status Padang Serai, kini kerusi panas


G Manimaran

KETIKA berita pemergian mendiang M Karupaiya, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Padang Serai di Kedah mengisi ruang media massa dan tersebar dengan pantas di alam media sosial, saya berada di kawasan Rembau untuk meninjau perkembangan hari-hari terakhir kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

Sesungguhnya insiden itu, tiga hari sebelum hari pengundian sebenar mengejutkan banyak pihak, termasuk saya. Meskipun saya sendiri tidak melalui insiden seperti itu sebagai pengamal media sebelum ini, tetapi ia tetap mengejutkan.

Satu lakaran sejarah dalam landskap pilihan raya umum, terutama PRU15 yang telah pun merekodkan sejumlah perkembangan luar biasa yang tidak diduga dan diramalkan.

Berita menyedihkan itu diiringi dengan panggilan daripada rakan-rakan media mengenai impak dan apa akan terjadi kepada proses pengundian pada Sabtu ini bagi kawasan tersebut.

Begitu juga peminat-peminat pilihan raya yang ingin tahu status kerusi Parlimen Padang Serai.

Meskipun Padang Serai bukan kerusi panas secara langsung, tetapi ia tetap mendapat perhatian pemegang taruh landskap pilihan raya demokrasi negara. Terutama di peringkat kedua, dari segi persaingan kerusi parti komponen Barisan Nasional (BN). 

MIC diberikan kerusi tersebut. Maka, dari sudut itu perhatian kini menghala ke arah itu. Siapa bakal juara kerusi itu yang mempunyai seramai 133,867 pengundi.

Persaingan sengit antara kedua-dua parti MIC dan PH dalam persaingan enam penjuru.

Mendiang adalah penyandang kerusi Parlimen Padang Serai yang dimenanginya pertama kali pada PRU14.

Pada PRU kali ini, Karupaiya berhadapan dengan saingan daripada Hamzah Abd Rahman dari PEJUANG, komponen Gerakan Tanah Air (GTA), Datuk Sivaraj Chandran (BN-MIC), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Parti Warisan) dan Ananda Ak (Bebas).

Teruskan atau tidak?

Perkembangan terbaharu ini turut mencetuskan satu kontroversi dan polemik sama ada pilihan raya baharu perlu diadakan atau sebaliknya. 

Ada pihak berpandangan pilihan raya baharu tidak wajar dan tidak perlu. Jadi pihak-pihak terbabit menekankan bahawa proses pengundian Sabtu ini harus diteruskan atas alasan pengundian pos dan awal telah pun bermula, dan pilihan raya kecil boleh ditentukan berdasarkan kepada keputusan Sabtu ini.

Dalam buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir, ada digariskan keadaan-keadaan yang boleh dipertimbangkan oleh badan pengurusan pilihan raya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk menghentikan proses pengundian, dan seterusnya mengadakan semula pilihan raya baharu. 

Sebelum hari pengundian, SPR boleh membatalkan notis pengundian dan mengeluarkan notis pengundian yang lain dengan menetapkan tarikh-tarikh pilihan raya yang lain jika berlaku keadaan-keadaan berikut: 

Salah seorang calon yang sah bertanding telah hilang kelayakan untuk menjadi Ahli Dewan Rakyat atau Ahli DUN seperti perisytiharan bankrap, tidak siuman atau dihukum penjara oleh mahkamah lebih daripada satu tahun atau denda melebihi RM2,000.

(b) Salah seorang calon yang sah bertanding telah meninggal dunia. 

Tidak dapat dinafikan pelbagai tafsiran dibuat mengenai keadaan-keadaan itu. Ini termasuklah lebih daripada dua calon bertanding dan pengundian menerusi pos dan awal telah pun berlangsung. Selain itu, nama seseorang calon telah meninggal dunia dikeluarkan, dan sebagainya. 

Mengikut kandungan Peraturan 11(6) Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) 1981 menjelaskan bahawa setelah diberitahu mengenai perkara di atas (kematian dan sebagainya) oleh Pegawai Pengurus (RO), maka SPR akan mengambil tindakan serta-merta membatalkan tarikh pengundian dan mengumumkan tarikh penamaan calon dan pengundian yang baharu. 

Calon yang telah sah dinamakan tidak perlu lagi berbuat demikian dan akan kekal sebagai calon. 

Dalam sejarah pengurusan pilihan raya, SPR pernah menangguhkan proses pengundian PRU 1969 di Sabah dan Sarawak susulan deklarasi darurat pada 15 Mei 1969, dan juga kerusi Parliman Melaka Selatan, Melaka ekoran kematian seorang calonnya, dan semasa PRU 1982 apabila calonnya, Datuk Mohammad Taha Taib mati ditembak pada 14 April iaitu lapan hari sebelum hari pengundian.

Kandungan Peraturan 11(6) yang terperinci adalah seperti berikut: “Jika, selepas pilihan raya dilaporkan sebagai dipertandingkan, salah seorang daripada calon yang dinamakan mati atau hilang kelayakan daripada menjadi ahli Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri, mengikut mana-mana yang berkenaan, sebelum pengundian dimulakan, atau jika kerana apa-apa jua sebab pengundian tidak dapat diadakan atau telah tidak diadakan pada hari mengundi awal atau hari mengundi, mengikut mana-mana yang berkenaan, yang dinyatakan dalam writ yang dikeluarkan kepada pegawai pengurus di bawah Subperaturan 3(1), maka RO hendaklah, apabila berpuas hati tentang fakta sedemikian, atau sebab sedemikian, mengikut mana-mana yang berkenaan, memberitahu Setiausaha SPR dengan mencatatkan fakta itu, atau sebabnya, mengikut mana-mana yang berkenaan, di sebelah belakang writ yang dikeluarkan kepadanya di bawah Subperaturan 3(1) dan memulangkan writ itu kepadanya tanpa kelengahan. SPR hendaklah membatalkan notis bagi pengundian itu, dan hendaklah menetapkan melalui notis yang disiarkan dalam warta suatu tarikh baharu bagi pilihan raya itu dan dalam hal demikian semua urusan mengenai pilihan raya itu hendaklah dijalankan semula, dengan syarat bahawa penamaan yang baharu tidak perlu dalam hal seseorang calon yang layak yang sah dinamakan pada masa pengundian itu dibatalkan.”

Perkara berkaitan dengan writ dan notis pilihan raya dihuraikan dalam Perkara 3. Perkara 3(1) menyebut bahawa “apabila dikeluarkan suatu writ mengikut Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958, SPR hendaklah menyiarkan suatu notis mengenainya dalam warta dan notis itu hendaklah menyatakan tarikh atau tarikh-tarikh yang calon untuk pilihan raya hendaklah dinamakan, yang dalam Peraturan-peraturan ini disebut “hari penamaan”, yang tidak kurang daripada empat hari selepas tarikh disiarkan notis itu, dan tarikh atau tarikh-tarikh yang pengundian akan dijalankan sekiranya pilihan raya itu dipertandingkan, (yang disebut dalam Peraturan-peraturan ini sebagai “hari mengundi”), yang tidak kurang daripada sebelas hari selepas hari penamaan.”

Dalam pada itu, mengenai writ dan notis pilihan raya, Seksyen 12(1) Akta Piliihan Raya menyebut bahawa “bagi maksud tiap-tiap pilihan raya umum dan mana-mana pilihan raya kecil, SPR hendaklah mengeluarkan writ yang dialamatkan kepada RO bagi setiap bahagian pilihan raya yang baginya seorang ahli hendaklah dipilih.” 

Manakala Seksyen 12(2) menjelaskan, “tiap-tiap writ yang dikeluarkan di bawah subseksyen (1) hendaklah mengikut borang yang ditetapkan dan hendaklah dikembalikan kepada SPR mengikut cara yang ditetapkan”. 

Dan, Seksyen 12(3) berkata, “berhubung dengan sesuatu kekosongan yang hendaklah dipenuhi dalam sesuatu pilihan raya kecil, suatu writ hendaklah dikeluarkan tidak dahulu daripada empat hari dan tidak lewat daripada sepuluh hari dari tarikh kekosongan itu disahkan berlaku oleh SPR.”

Berdasarkan kenyataan media SPR, proses pengundian di kawasan Padang Serai telah pun ditangguhkan. Pengundi biasa tidak perlu keluar mengundi pada Sabtu ini. Mereka akan ada peluang untuk mengundi pada tarikh yang bakal ditetapkan esok. 

SPR akan “mengadakan mesyuarat khas esok bagi membincangkan penetapan tarikh-tarikh penting untuk urusan PRU15” bagi kawasan tersebut.

SPR juga ada mengatakan bahawa telah menerima writ yang dipulangkan oleh RO sebagaimana dikehendaki oleh undang-undang pilihan raya.

Bermaksud kitaran proses pilihan raya bagi kerusi itu akan bermula seperti biasa tanpa menghilangkan kelayakan calon-calon yang sudah pun sah untuk bertanding di kawasan tersebut.

Persoalan seterusnya ialah bila pilihan raya akan diadakan bagi Padang Serai. Tiada peruntukan khusus mengenai tempoh pilihan raya perlu diadakan bagi keadaan luar biasa seperti ini.

Bagi PRU dan piliihan raya kecil pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari. Tidak ada peruntukan khusus bagi pengurusan pilihan raya bagi keadaan jika melibatkan proses pengundian dihentikan, antaranya kerana kematian sebelum hari pengundian.

Bagi kes kerusi Melaka Selatan, Melaka pilihan raya baharu telah berlangsung sekitar setahun selepas keadaan kembali normal susulan peristiwa 13 Mei 1969. 

Satu lagi kejadian adalah semasa PRU 1982 apabila calonnya, Mohammad Taha Taib, mantan speaker Dewan Undangan Negeri dan pemimpin Umno bahagian di Negeri Sembilan, mati ditembak pada 14 April iaitu lapan hari sebelum hari pengundian. 

SPR pernah menggantung pilihan raya di Sabah dan Sarawak ekoran pengisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen pada 1969. 

Kerusi tumpuan

Berdasarkan pengalaman-pengalaman lalu, SPR akan mengadakan pilihan raya bagi kerusi Padang Serai dalam waktu terdekat dan urusan akan dibuat “serta-merta” sebagaimana disebutkan oleh undang-undang. Mengambil kira musim tengkujuh, kemungkinan besar awal tahun depan.

Saya pasti keperluan semasa juga akan diambil kira oleh SPR.

Kemungkinan status kerusi Padang Serai boleh berakhir dengan petisyen atau tindakan mencabar statusnya di mahkamah. Ia menarik untuk dilihat dari sudut kaca mata perundangan. 

Di bawah kerangka perundangan semasa, SPR sudah pun memutuskan penangguhan proses pengundian. Itu satu keputusan terbaik.

Sudah pasti kerusi Padang Serai kini menjadi penting dan signifikan bagi kesemua parti yang bertanding. Terutama dalam keadaan timbul spekulasi mengenai Parlimen tergantung dan tiada parti akan memperoleh jumlah kerusi muktamad untuk membentuk kerajaan. 

Dalam pelbagai keadaan yang masih belum jelas, Padang Serai menjadi kerusi tumpuan dan kerusi panas terbaharu dalam PRU15.

Apa pun pengundi-pengundi Padang Serai dan parti-parti yang bertanding perlu diberikan ruang yang adil dan saksama untuk melunaskan hak pilihan raya demokrasi mereka. 

Bermakna perlu ada pilihan raya baharu di kerusi itu, yang sudah tentu akan membawa pelbagai warna, seolah-olah satu pilihan raya kecil kelak.

Di kesempatan ini, saya juga ucapkan salam takziah kepada keluarga mendiang, penyokong dan pengundi Padang Serai, serta kepada parti beliau wakili.

Sumbangan mendiang kepada usaha murni menyuburkan semangat demokrasi harus dihargai. – 17 November, 2022.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen