Presiden Brazil ikrar lindungi Amazon pada COP27


Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva berjanji untuk melindungi hutan hujan Amazon di persidangan COP27 semalam. – Gambar AFP, 17 November, 2022.

PRESIDEN Brazil Luiz Inacio Lula da Silva yang dilantik semalam berikrar pada persidangan perubahan iklim PBB COP27 di Mesir untuk melindungi hutan hujan Amazon, lapor Agensi Anadolu (AA).

Dalam lawatan pertamanya ke luar negara sejak memenangi pusingan kedua pemilihan presiden pada 30 Oktober, Lula mengumumkan Brazil kini kembali ke pentas antarabangsa, menyentuh mengenai pilihan raya baru-baru ini dan implikasinya terhadap Amazon dan “kelangsungan hidup” dunia.

“Tiada keselamatan iklim untuk dunia tanpa Amazon yang dilindungi,” katanya, berjanji untuk melindungi biojisim Amazon.

Lula berkata dalam tempoh tiga tahun pertama pentadbiran semasa presiden Jair Bolsonaro, tahap penebangan hutan meningkat 73% manakala pada tahun lepas, 13,000 kilometer persegi hutan telah ditebang.

“Kami akan memperkasa badan pemeriksaan dan sistem pemantauan, yang telah dirombak sejak empat tahun lepas,” katanya.

Lulu berkata beliau akan menyekat “jenayah alam sekitar” dan mereka yang melakukan “aktiviti haram” di Amazon, mengecam aktiviti perlombongan, perkayuan dan pertanian yang menurutnya memberi kesan ketara ke atas cara hidup Orang Asli di rantau ini.

Beliau juga berikrar untuk menubuhkan sebuah kementerian untuk Orang Asli bagi memastikan “kelangsungan hidup, keselamatan, keamanan dan kemampanan yang bermaruah,” menekankan bahawa mereka “mesti menjadi protagonis yang memuliharanya.”

Lula turut mengumumkan Jerman dan Norway akan menyokong Dana Amazon bagi membiayai langkah perlindungan alam sekitar di hutan hujan tropika terbesar itu.

“Dana hari ini berjumlah AS$500 juta yang dibekukan sejak 2019 ekoran kurangnya komitmen kerajaan semasa terhadap perlindungan Amazon,” kata Lula.

Beliau juga akan menangani kesan global perubahan iklim dan mendesak negara maju yang kaya untuk menunaikan ikrar mereka bagi menyediakan AS$100 bilion setahun untuk kewangan iklim.

Dengan lebih 17% daripada keseluruhan lembangan Amazon musnah akibat penebangan hutan, kemusnahan di Amazon semakin kritis.

Menurut saintis Carlos Nobre dan Thomas Lovejoy, jika 20% hingga 25% daripada Amazon musnah, peranannya sebagai ekosistem alam sekitar akan gagal. – Bernama, 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen