25 polis pelatih cedera, dirempuh ketika joging


Polis memeriksa kenderaan yang merempuh sekumpulan polis pelatih yang sedang jogging di Los Angeles semalam. – Gambar AFP, 17 November, 2022.

SEBUAH kereta merempuh sekumpulan polis pelatih yang sedang jogging di Los Angeles semalam, menyebabkan 25 cedera dengan lima daripadanya dalam keadaan kritikal, kata pihak berkuasa.

Berpuluh-puluh pelatih polis keluar untuk bersenam pada waktu pagi apabila sebuah kenderaan dilaporkan menuju ke arah bertentangan, merempuh mereka – tanpa ada usaha untuk memperlahankan kenderaan.

“Ia kelihatan seperti kapal terbang terhempas,” kata Serif Los Angeles Alex Villanueva.

Beliau berkata manusia bertebaran di mana-mana dalam keadaan mengalami pelbagai kecederaan.

Villanueva berkata ada antara mereka yang hilang kaki, dan ada juga mengalami kecederaan parah hingga memerlukan alat bantuan pernafasan.

Video dari tempat kejadian menunjukkan berpuluh-puluh ambulans dengan paramedik merawat mangsa, bergegas membawa mangsa ke hospital.

Bomba dipetik berkata kenderaan terbabit datang dari arah bertentangan ketika insiden berlaku.

Villanueva berkata ada pelatih yang mendengar bunyi kereta menekan pedal minyak, dianggarkan bergerak dengan kelajuan 56km sejam ketika ia merempuh kumpulan itu.

Pihak berkuasa berkata pemandu kenderaan itu kini dalam tahanan dan siasatan sedang dijalankan.

Ujian awal mendapati pemandu terbabit tidak berada dalam keadaan mabuk, kata Villanueva. – AFP, 17 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen