Kes ladang durian haram Raub sesar undi Melayu ke Perikatan


Salhan K. Ahmad

Isu ladang durian haram diketengahkan calon PH di kerusi Parlimen Raub yang mahu memutihkan tanah berkenaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

DERUAN enjin helikopter memecah keheningan pagi hari kelapan kempen PRU15 di Pamah Kulat, satu pusat daerah mengundi di Dong, Pahang.

“Itu menteri besar lah. Patutnya dia datang petang ini ke Ulu Dong,” kata seorang pelanggan di sebuah kedai kopi di Kampung Cincin yang terletak kira-kira 13 kilometer dari pekan Dong.

Pelanggan itu, Mohamad Ali, pernah melihat helikopter tersebut membawa Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail melawat Ulu Dong selepas banjir besar melanda hujung tahun lalu.

Kesemua 15 pasang mata dalam kedai kayu beratap zink itu meninjau jentera canggih yang sekejap-sekejap terlindung di balik juntaian pohon kayu.

Olakan dari pesawat itu menyingkap kabus nipis menyelimuti banjaran bukit yang mengepung kampung tersebut dan mendedahkan tompokan kebun diusahakan penduduk.

Kesemua kebun di kawasan itu dikerjakan penduduk di atas tanah halal, kata Ali, 65.

“Orang sini tak berani buka tanah haram kerana salah. Kalau ada yang buka sekejap lagi datanglah pegawai pejabat galian. Habis akan dicantasnya,” katanya mengulas isu kempen di situ.

Kes tanah durian haram di Sungai Ruan yang terletak di kaki Gunung Benom itu menjadi buah mulut di pekan Raub.

Ali yang pernah berkhidmat di Lembaga Hasil Dalam Negeri pernah mendengar ada kalangan pengusaha durian haram tersebut mengaut sehingga beratus ribu ringgit setiap musim.

Isu ladang durian haram itu dijuarai Chow Yu Hui, calon PH di kerusi Parlimen Raub yang mahu memutihkan tanah berkenaan.

Usaha itu tidak menangkap simpati pengundi seperti Ali, yang tetap akan menyokong BN dengan calon Chong Sin Woon dari MCA sewaktu membuang undi Sabtu ini.

“Saya undi tidak kira calon, kira parti siapa. Dari dulu sokong dacing,” katanya yang turut membawa The Malaysian Insight meninjau pusat daerah mengundi itu.

Ali Ahmad berkata pernah mendengar ada kalangan pengusaha durian haram di kawasan itu mengaut sehingga beratus ribu ringgit setiap musim. – Gambar The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

Di sepanjang jalan sekitar Pamah Kulat dan Ulu Dong, dua bilik gerakan utama Perikatan Nasional dapat dikesan, yang menggambarkan penguasaan gabungan tersebut dalam kempen kali ini.

PAS mendapat sokongan lebih kurang setara BN di saluran pengundi sebaya Ali di daerah mengundi Pamah Kulat dan jirannya Ulu Dong dalam pilihan raya lalu.

“Di sini masih lagi kawasan BN, tapi tak tahulah kali ini,” kata Ali.

Kawasan kebun durian tradisional itu menganjur sepanjang penempatan Melayu Ulu Dong hingga ke pekannya dan dari Ulu Jelu hingga ke Ulu Gali berhampiran Sungai Ruan dalam DUN Tras.

Penerokaan tanah haram di Sungai Ruan disaksikan seorang pesara guru, Cikgu Syaaban yang mula bertugas di situ ketika ia masih menjadi kawasan hitam komunis sekitar tahun 1980.

“Waktu itu masih perintah berkurung. Sungai Ruan masih black area. Orang ada pas macam saya saja boleh lepas sekatan jalan ke sekolah. Semua penerokaan bermula masa itulah,” katanya.

Beliau yang ditemui di Kampung Tok Machang, Ulu Gali berkata, usaha memutihkan ladang haram tersebut tidak akan mendapat sokongan pengundi sepertinya.

“Sudah terang-terang salah. Asasnya itu tanah haram, cara itu tak betul,” tegas pesara itu.

Tambahnya, pengundi Melayu juga tidak tertarik untuk memilih BN kerana pentadbiran parti itu bertanggungjawab membiarkan kes ladang haram Sungai Ruan berlarutan, katanya.

Umno mengawal Sungai Ruan dalam kawasan Parlimen Raub dari PRU 1959 sehingga 1974.

MCA seterusnya mewakili Raub sehingga 2008 dan kemudian kubu BN itu pecah pada 2013 apabila DAP menang dengan calon Melayu, Mohd Ariff Sabri Abdul Aziz.

Kerusi itu dikekalkan pada 2018 dengan calon Melayu DAP Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan kini ditandingi penyandang kerusi DUN Tras Chow Yu Hui.

Salah sebuah kilang di sekitar Ulu Gali dan Sungai Ruan yang memproses durian sejuk beku untuk eksport. – Gambar The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

Mengulas lanjut usaha DAP itu, Cikgu Syaaban berpendapat pengundi Melayu akan mencari alternatif lain dan akan lebih tertarik kepada PN kerana menurutnya “lebih Islamik”.

Namun tawaran PH untuk memutihkan kawasan ladang haram dianggar seluas 15,000 ekar itu tetap menarik pengundi seperti seorang bekas polis, Mohamad Ali, 74.

Beliau berharap, pengundi Melayu yang turut memohon tanah akan mendapat untung dalam usaha itu.

“Sekurang-kurangnya dapat juga tanah sendiri. Boleh diusahakan waktu pencen ini,” katanya yang kali terakhir bertugas dalam pasukan polis di Bentong.

Tambahnya, tidak semua pengundi Melayu menolak usaha memutihkan ladang haram Sungai Ruan kerana ramai mendapat faedah dari perusahaan dianggarkan bernilai RM1 bilion itu.

“Yang bekerja di kilang ladang durian ini semuanya Melayu,” katanya merujuk kepada lima kilang di sekitar Ulu Gali dan Sungai Ruan yang memproses durian sejuk beku untuk eksport.

Katanya lagi, beliau juga cenderung menyokong PH kerana karisma pengerusinya Anwar Ibrahim sebagai calon perdana menteri gabungan tersebut.

PH juga menangkap semangat pengundi kali pertama seperti Fadhil Mohamad, 26, yang bertekad untuk pulang lagi ke Ulu Gali pada Sabtu untuk mengundi gabungan itu.

Akauntan di sebuah firma audit di Kuala Lumpur itu berkata, beliau tertarik dengan dasar dan usaha dilaksanakan PH selama 22 bulan pentadbirannya untuk memperbetulkan masalah tinggalan BN.

Selain itu, kempen BN dan PN di media sosial yang banyak menyentuh perkauman dan agama menjengkelkannya.

Fadhil memberi contoh usaha PH menyelamatkan Tabung Haji dari masalah kewangan yang diceritakan parti lawan sebagai tindakan “menjual aset kepada Cina”.

Pemuda tersebut yang mengikuti penjelasan pemimpin PH seperti Rafizi Ramli berkenaan isu tersebut berkata, keadaan sebenar bukan seperti dalam bahan kempen parti lawan.

Fadhil Mohamad berkata kempen BN dan PN di media sosial yang banyak menyentuh perkauman dan agama menjengkelkannya. – Gambar The Malaysian Insight, 17 November, 2022.

Namun data di pusat daerah mengundi Fadhil di Ulu Gali menunjukkan ia antara kawasan yang sukar ditembusi PH, walau kedudukannya hanya bersebelahan dengan Sungai Ruan.

Sungai Ruan yang menjadi tumpuan kempen pemutihan ladang haram PH menerima 2,418 undi, jauh mengatasi BN (563) dan PAS (25).

Calon PH Chow Yu Hui mengakui majoriti pengundi Melayu tidak begitu menerima usaha pemutihan melibatkan kira-kira 2,000 peladang Sungai Ruan.

“Tetapi ada juga tanah melibatkan orang Melayu,” katanya yang menambah, manfaat dari industri itu melibatkan ladang durian, kilang dan ekopelancongan.

Beliau percaya isu dihadapi 2,000 peladang itu boleh diterjemah kepada 20,000 undi anggota keluarga dan pekerja terlibat dari seluruh 75,000 pengundi Raub.

Menurut jentera DAP, isu tersebut antara penyebab pengundi Melayu menolak parti itu dan cenderung memilih PN kali ini seperti dilihat berlaku di kawasan DUN Batu Talam dan DUN Tras.

Kedua-dua kawasan itu kini ditandingi calon Melayu PH – Shahuddin Abdul Rahman dari PKR di Batu Talam dan penyandang kerusi Raub Tengku Zulpuri di Tras.

Tengku Zulpuri berdepan Amirul Mukminan Kuek Abdullah dari PN, Lim Teck Hoe dari BN dan Mohd Tahir Kassim calon Pejuang.

Tengku Zulpuri juga bertanding kerusi Parlimen Lipis pada kali ini.

Di Batu Talam, Shahuddin berdepan calon Ahmad Sabri Mat Dui dari PN dan Abd Aziz Mat Kiram dari BN. – 17 November, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen