PENDUDUK Los Angeles memilih Karen Bass sebagai datuk bandar, menurut ramalan undi semalam, menjadikan beliau wanita pertama memimpin bandar kedua terbesar Amerika Syarikat (AS).
Bass, anggota Demokrat, seorang kulit hitam dan sekian lama menjadi ahli kongres, menewaskan pencabarnya, pemaju Rick Caruso, yang membelanjakan AS$100 juta dari poketnya sendiri dalam pertandingan itu.
Caruso, 63, berkulit putih berbelanja berkali ganda lebih banyak berbanding lawannya, dengan iklan menjanjikan memulihkan masalah gelandnagan di Los Angeles.
Tetapi dengan hampir tiga perempat undi yang sudah dikira, Bass mendahului dengan 46,500 undi, menurut kiraan yang dikeluarkan semalam.
Proses kiraan undi akan bersambung dan pegawai pilihan raya dijadualkan mengesahkan keputusan itu pada 5 Disember.
Bass, yang lahir dan membesar di Los Angeles mempertaruhkan reputasinya di bandar itu sebagai penjawat awam, menjadi penganjur masyarakat yang pernah menang pemilihan dewan undangan negeri California dan kemudian ke Dewan Rakyat AS.
Bass turut memberi fokus kepada masalah gelandangan, di mana puluhan ribu penduduk tidur di khemah atau kenderaan RV yang using, dan kebanyakan daripada mereka mengalami masalah mental atau penggunaan dadah.
Masalah gelandangan dipercayai berpunca daripada kos perumahan terlalu tinggi di bandar itu. – AFP, 17 November, 2022.
Komen