Klang, Shah Alam dilanda banjir kilat lagi


Kalidevi Mogan Kumarappa

Hujan sejak 10 malam semalam menyebabkan beberapa kawasan di Klang dan Shah Alam dilanda banjir kilat. – Gambar Jabatan Bomba, 17 November, 2022.

BEBERAPA kawasan di Klang dan Shah Alam – sesetengahnya di zon cenderung banjir – dilanda banjir kilat susulan hujan tidak berhenti sejak 10 malam tadi.

Di Shah Alam, banjir kilat berlaku di Seksyen 13, Seksyen 22, Padang Jawa, I-City, Bukit Lanchong dan Taman Sri Muda.

Sementara di Klang, banjir dilaporkan di Taman Sentosa, Kota Raja, Taman Sri Andalas, Taman Chi Liung dan GM Klang.

Beberapa penduduk di Taman Sri Muda dilaporkan terpaksa meninggalkan rumah sebaik saja paras air mulai naik akibat hujan lebat malam tadi.

Penduduk di kawasan sekitar turut memindahkan kenderaan mereka ke kawasan lebih tinggi.

Hujan lebat menyebabkan Jalan Kampung Landasan Bukit Kuda dan Taman Sentosa, Klang; Kampung Sri Aman dan Putra Height Harmoni 1, Puchong; Taman Chi Liung, Teluk Pulai dan Taman Maznah kawasan Kota Raja dinaiki air.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis berkata banjir turut dilaporkan di Taman Pasir Mas, Jalan Seroja, Jalan Reko dan Taman Teknologi Kajang, Kajang; Bukit Lanchang, Taman Sri Muda dan Jalan Kebun, Shah Alam serta Kampung Sungai Pening dan Sungai Lalang, Semenyih.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, menerima beberapa panggilan banjir sejak 12.26 tengah malam tadi.

“Seramai 130 pegawai dan anggota JBPM, dengan aset iaitu 20 bot, empat lori, 10 utiliti dan lapan jentera digerakkan ke semua lokasi banjir dan tanah runtuh,” katanya dalam satu kenyataan.

Norazam berkata sehingga 3.30 pagi, lebih 31 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) selepas kediaman mereka dinaiki air.

Katanya, tiga PPS dibuka di Masjid Kampung Johan Setia, Bandar Bukit Tinggi 2 dan Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih.

“Kenaikan air yang paling dalam dikesan pada paras dua kaki (0.6 meter) di Jalan Landasan Kampung Bukit Kuda, Klang manakala bacaan air terendah dikesan pada paras 0.3 meter di sekitar Taman Sri Muda, Jalan Kebun dan Kampung Bukit Lanchong.

“Selain mangsa banjir, JBPM Selangor juga turut memberi tumpuan kepada golongan warga emas dan OKU dan sehingga 4 pagi tadi operasi pemindahan mangsa masih dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata pihaknya turut mengesan trend air mula menurun di beberapa lokasi selepas hujan lebat mula reda.

Sementara itu dalam kejadian tanah runtuh membabitkan rumah teres dua tingkat di Taman Sri Jelok, Kajang, empat mangsa diselamatkan bomba.

Norazam berkata tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku dan sehingga kini pegawai dan anggota JBPM Selangor masih ditempatkan di kawasan berisiko berlakunya banjir dan tanah runtuh.

Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Selangor berkata 719 mangsa banjir daripada 175 keluarga ditempatkan di tujuh PPS setakat 8 pagi ini.

PPS bagi daerah Klang membabitkan Masjid Kampung Johan Setia yang menempatkan 195 mangsa daripada 49 keluarga dan Balai MPKK Kampung Jalan Kebun, Batu 7 yang menempatkan 58 mangsa daripada 15 keluarga.

Dua PPS dibuka di Petaling iaitu Dewan Camelia Putra Heights membabitkan 210 mangsa daripada 53 keluarga.

Manakala di Masjid Putra Heights terdapat 227 mangsa daripada 51 keluarga.

Hulu Langat pula membabitkan 29 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih.

Dua lagi PPS adalah di Balai Raya Pekan Bangi Lama, Hulu Langat dan Dewan Orang Ramai Taman Gemilang, Sepang yang masih dalam bancian.

Tiga PPS yang dibuka pada 11 dan 15 November di Kuala Selangor serta Sabak Bernam masih beroperasi sehingga hari ini.

PPS berkenaan adalah Sekolah Menengah Kebangsaan Jeram yang menempatkan 116 mangsa daripada 30 keluarga; Dewan Bagan Nakhoda Omar tujuh mangsa daripada dua keluarga serta Dewan Simpang 5, enam mangsa dari satu keluarga. – 17 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen