Bersatu bukan parti dominan Perikatan, kata Tuan Ibrahim


Diyana Ibrahim

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata sebarang keputusan akan dibuat bersama dengan parti dalam Perikatan Nasional.– Gambar fail The Malaysian Insight, 16 November, 2022.

TIMBALAN Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man menafikan Bersatu menjadi parti dominan dalam Perikatan Nasional.

Beliau berkata segala keputusan yang membabitkan kepentingan parti diputuskan bersama oleh lima parti komponen dalam PN.

Selepas itu menjadi tanggungjawab Muhyiddin Yassin selaku pengerusi PN menyampaikan atau mengumumkan keputusan tersebut, katanya.

“Kita begini, dalam majlis tertinggi parti keputusan dibuat bersama dengan komponen. Sebenarnya tak timbul pun soal dominasi.

“Sama juga dengan BN, Umno nampak dominasi. Dan kita pun begitu sebab pengerusi adalah Muhyiddin, kenyataan yang dikeluarkan daripada beliau.

“Tapi keputusan adalah bersama, dan selama ini Muhyiddin apa - apa pun akan bincang dengan presiden Abdul Hadi Awang, mesti ada perbincangan,” katanya  kepada media selepas program sepetang di Kuala Nerus, Terengganu.

Beliau berkata demikian membalas kritikan Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang berkata Bersatu nampak lebih dominan daripada PAS.

Ismail berkata sebagai parti besar dan sudah lama ditubuhkan sepatutnya PAS menjadi parti dominan dalam PN.

Ismail memberi reaksi demikian susulan penafian Muhyiddin mengenai kenyataan Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berhubung kerjasama dengan BN selepas PRU15. 

Muhyiddin berkata Takiyuddin tidak diberi mandat untuk mengeluarkan kenyataan demikian.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim turut menafikan tindakan Muhyiddin itu menyebabkan PAS berkecil hati.

“Tidak, kita tidak kecil hati sebab memang patutnya Muhyiddin keluar kenyataan dan Takiyuddin pun sudah membuat penjelasan kenyataannya diambil luar dari konteks,” katanya.

Pada program itu, Tuan Ibrahim juga ditanya samaada PN akan mengikut langkah BN untuk mengecilkan saiz kabinet jika menang dalam PRU15.

Ujarnya perkara itu juga dalam pertimbangan PN jika mengambil kira kemampuan kewangan negara.

“Kita akan urus lepas ini, sebab ia antara pertimbangan PN sebab bila kita buat kabinet besar takut akan beri beban kewangan negara.

“Tapi kalau kabinet terlalu kecil akan jadi beban beri kesan kepada kemampuan untuk mentadbir, jadi banyak faktor perlu dipertimbangkan,” katanya. – 16 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen