Filipina tahan suspek militan IS dalam serangan Marawi


Ketua polis Filipina Ronald dela Rosa (kanan) bercakap pada sidang akhbar tentang penahanan suspek militant Islamic State yang menyerang Marawi tahun lalu, Nasser Lomondot (berbaju kuning) di Manila hari ini. – Gambar AFP, 5 Mac, 2018.

POLIS Filipina hari ini mengumumkan penahanan pengganas disyaki pro Islamic State (IS) yang didakwa membunuh orang awam dalam insiden kepungan di bandar Marawi, tahun lalu.

Ratusan lelaki bersenjata mengibarkan bendera hitam IS merampas Marawi pada Mei tahun lalu, mencetuskan pertempuran selama lima bulan dan mengorbankan lebih 1,100 nyawa, dalam usaha pengganas mewujudkan pemerintahan khalifah di negara majoriti Katolik itu.

Nasser Lomondot ditahan di Manila pada Sabtu, selepas melarikan diri dari Marawi.

“Dia turut serta dalam pembunuhan orang awam yang tidak berdosa dan melakukan keganasan terhadap tebusan wanita dan kanak-kanak,” kata jurucakap tentera wilayah Mejar Ronald Suscano kepada wartawan.

Ketika pasukan tentera kerajaan melawan untuk mengawal semula Marawi, Lomondot mengarahkan serangan lencongan dilakukan oleh penembak pro IS di bandar bersebelahan Marantao, kata Suscano.

“Dia salah seorang perancang utama dalam serangan di bandar Marantao sementara peperangan masih berlaku di Marawi,” kata Suscano.

Lomondot ditahan bersama suspek pro IS kedua, kata ketua polis Manila Oscar Albayalde dalam satu kenyataan.

Tentera Filipina bulan lalu memberi amaran bahawa baki militan yang tinggal di Marawi mengumpulkan kira-kira 200 penembak untuk melancarkan cubaan serangan kali kedua untuk mewujudkan pemerintahan khalifah di selatan negara itu. – AFP, 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen