Calon Pakatan untuk Padang Serai meninggal dunia


Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution menyifatkan pemergian penyandang Parlimen Padang Serai sebagai kehilangan besar buat parti dan juga perjuangan reformasi. – Gambar Facebook, 16 November, 2022.

CALON Pakatan Harapan untuk Parlimen Padang Serai Karupaiya Mutusami, 69, telah meninggal dunia, sekali gus menjadi calon pertama meninggal dunia semasa pilihan raya.

Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata PKR dan Pakatan Harapan (PH) merakamkan ucapan takziah buat keluarga mendiang, berkata pemergian Karupaiya satu kehilangan besar kepada parti dan perjuangan reformasi.

“Mendiang meninggal dunia di dalam perjuangan menegakkan keadilan demi Malaysia yang lebih baik. Semangat ini akan diteruskan oleh para pejuang PKR dan PH pada Pilihan Raya Umum ke-15 ini.

“Kali terakhir kami bertemu adalah pada 14 November lalu, di atas pentas ceramah di Kulim. Mendiang telah memberi ucapan ringkas dan sempat bersama menjulang tangan di akhir ucapan Pengerusi Pakatan Harapan (Anwar Ibrahim),” katanya dalam satu kenyataan, petang ini.

Dalam pada itu Ketua Polis Kulim Redzuan Salleh berkata Karupaiya menghembus nafas terakhir pada pukul 2.27 petang tadi di Hospital Kulim.

“Kami masih belum tahu punca sebenar kematian dan kami akan maklumkan perkembangan terkini. Kami ucapkan takziah kepada keluarga mendiang,” katanya seperti dipetik FMT.

Media difahamkan Karupaiya dimasukkan ke hospital tiga hari lepas.

Penyandang Parlimen Padang Serai itu berdepan pertembungan enam penjuru di kawasan yang disandangnya sejak PRU14.

Beliau berdepan C. Sivaraj dari Barisan Nasional, Azman Nasrudin (Perikatan Nasional), Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Mohd Bakhri Hashim (Warisan) dan Sreanandha Rao (Bebas).

Suruhanjaya Pilihan Raya dijangka mengeluarkan kenyataan hari ini mengenai status pengundian di Padang Serai berikutan kematian Karupaiya.– 16 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen