PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden memohon bantuan baharu berjumlah AS$37.7 bilion daripada Kongres untuk Ukraine sebagai sebahagian usaha pentadbirannya untuk menyokong Kiev di tengah-tengah operasi ketenteraan khas Rusia, lapor Sputnik.
“Sehingga kini, kira-kira tiga perempat dana yang disediakan Kongres sebelum ini telah diagih atau akan diagihkan dengan lebih banyak dijangka menjelang akhir tahun.
“Kami menggesa Kongres menyediakan peruntukan tambahan bagi memastikan Ukraine mempunyai wang, senjata dan sokongan yang diperlukan untuk mempertahankan dirinya dan mereka yang terjejas menerima bantuan untuk menyelamatkan nyawa,” kata Pengarah Pejabat Pengurusan dan Belanjawan Rumah Putih Shalanda Young dalam surat kepada Speaker Dewan Rakyat Nancy Pelosi pada Selasa.
Menurut surat itu, Rumah Putih meminta AS$7.7 bilion untuk menggantikan peralatan pertahanan daripada stok Jabatan Pertahanan AS dan pembayaran balik untuk latihan yang diberikan kepada tentera Ukraine.
Pembiayaan ini juga akan menambah baik loji peluru AS bagi meningkatkan kapasiti dan keupayaan AS untuk menambah stok pertahanannya dengan lebih cepat.
Selain itu, Rumah Putih juga meminta AS$7 bilion untuk Inisiatif Bantuan Keselamatan Ukraine yang membiayai industri pertahanan AS bagi meningkatkan pengeluaran senjata tertentu.
Surat itu juga menyebut Rumah Putih meminta AS$900 juta lagi untuk menyediakan bantuan penempatan semula termasuk wang tunai dan bantuan perubatan, pengurusan kes, pendidikan bahasa Inggeris, latihan pekerjaan dan perkhidmatan sokongan lain kepada rakyat Ukraine yang tiba di AS melalui program “Uniting for Ukraine”.
Permintaan itu juga meliputi penyediaan AS$500 juta tambahan kepada Program Pembiayaan Ketenteraan Asing Jabatan Negara bagi menyokong geran, pinjaman atau jaminan pinjaman untuk menyokong Ukraine dan rakan kongsi AS yang lain termasuk sekutu utama bukan Nato dalam mempertahankan diri terhadap ancaman berterusan atau baharu.
Permintaan ini akan menyediakan AS$13 bilion untuk menyokong belanjawan langsung kepada kerajaan Ukraine selain untuk keselamatan tenaga yang kritikal serta penstabilan ekonomi.
Pembiayaan ini juga akan menyokong keselamatan siber di Balkan Barat.
Di samping itu, permintaan Rumah Putih itu juga akan memberi kuasa kepada Jabatan Negara untuk meningkatkan had pengeluaran bantuan ketenteraan pada 2023 sebanyak AS$7 bilion kepada AS$10.7 bilion bagi memudahkan bantuan ketenteraan tambahan ke Ukraine atau negara lain daripada inventori Jabatan Pertahanan, menurut surat berkenaan.
Pada Oktober, media AS melaporkan pakej bantuan Ukraine bernilai AS$50 bilion sedang dalam pertimbangan untuk diluluskan pada akhir tahun ini ekoran kebimbangan Dewan yang dikawal Republikan mungkin kurang bersedia untuk memberi bantuan kepada Ukraine.
Kongres AS telah meluluskan puluhan bilion dolar dalam bentuk bantuan keselamatan, ekonomi dan kemanusiaan kepada Ukraine sejak permulaan operasi ketenteraan khas Rusia pada Februari. – Bernama, 16 November, 2022.
Komen