Ribuan rakyat Brazil tuntut tentera halang Lula ambil alih kuasa


Ribuan rakyat mengibarkan bendera Brazil sambil menyanyikan lagu kebangsaan di luar berek tentera seluruh negara, menuntut campur tangan tentera menghalang Luiz Inacio Lula da Silva dari mengambil alih kuasa. – Gambar AFP, 16 November, 2022.

BERIBU-RIBU rakyat Brazil berkumpul di luar berek tentera di Rio de Janeiro, di Brazil dan bandar-bandar lain pada Selasa menuntut tentera campur tangan bagi menghalang presiden haluan kiri Luiz Inacio Lula da Silva mengambil alih kuasa tahun depan.

“Kami mahukan Brazil yang lebih bagus. Kami tidak mahu Lula ambil alih kuasa pada 1 Januari, kami tidak mahu negara komunis,” kata pekerja bank Lais Nunes, 30, kepada AFP di Rio.

Penunjuk perasaan berpakaian hijau dan emas mengibarkan bendera Brazil sambil menyanyikan lagu kebangsaan.

“Ada pelbagai maklumat yang menunjukkan penipuan pilihan raya… kami tak boleh terima,” tambah pegawai polis Leandro de Oliveira, 38, yang mendakwa tribunal pilihan raya negara bertanggungjawab ke atas penipuan yang dikatakan.

Penyokong presiden haluan kanan Jair Bolsonaro yang akan berundur mendakwa berlaku penipuan sistem pengundian elektronik yang telah digunakan sejak 1996.

Bolsonaro sendiri melakukan perkara yang sama berulang kali, tanpa memberikan sebarang bukti sokongan.

Kementerian pertahanan Brazil bagaimanapun telah mengeluarkan laporan yang menolak dakwaan ketidakkonsistenan dalam keputusan pengundian elektronik, manakala pemerhati antarabangsa juga mengesahkan keputusan pilihan raya.

Lula, yang juga presiden dari 2003-2010 menang pusingan akhir pilihan raya presiden pada 30 Oktober dengan hanya di bawah 51 peratus undian berbanding Bolsonaro 49 peratus.

Di ibu negara Brasilia, beribu-ribu rakyat turut berkumpul di ibu pejabat tentera dengan beberapa orang memegang sepanduk seperti “S.O.S Armed Forces” dan “Audit at the polls.”

Keselamatan dipertingkatkan di ibu negara dan polis mengehadkan akses ke kawasan sekitar istana presiden, parlimen dan mahkamah agung.

Bantahan yang sama berlaku sejurus selepas pilihan raya pusingan kedua bulan lalu.

Sejak itu, ramai orang mendirikan kem di luar ibu pejabat tentera di Sao Paulo, di mana terdapat juga protes pada Selasa, serta di Belo Horizonte.

Selain ucapan ringkas dua hari selepas kekalahannya, Bolsonaro tetap menutup mulut, dengan diari rasminya dibiarkan kosong.

Beliau bukan sahaja hilang daripada kehidupan awam tetapi juga dari media sosial, di mana beliau pernah menjadi sangat aktif, malah menjalankan sebahagian besar kempen 2018 yang berjaya secara dalam talian.

Beliau juga tidak menghadiri sidang kemuncak G20 di Bali, Indonesia. Brazil diwakili oleh diplomat tertingginya Carlos Franca. – AFP, 16 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen