Kemarahan dunia memuncak selepas letupan bom di Kabul korbankan 90 orang


Orang tamai mengusung mangsa pengeboman yang mengorbankan 90 orang dan mencederakan beratus yang lain di Kabul. – Gambar AFP, 1 Jun, 2017.

PRESIDEN Donald Trump mengecam letupan trak yang disifatkan sebagai “barbarik” di Kabul dalam panggilan telefon kepada rakan sejawatnya, ketika kemarahan dunia memuncak kerana letupan besar yang memusnahkan kawasan diplomatik di bandar itu, membunuh sekurang-kurangnya 90 orang dan mencederakan beratus yang lain.

Masih tidak ada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab melakukan serangan itu, yang bermula apabila sebuah lori tangki kumbahan yang sarat dengan bahan letupan meletup di kawasan diplomatik yang dikawal ketat.

Ketika penduduk bersiap sedia untuk mengebumikan mereka yang terbunuh Khamis lepas, pihak berkuasa masih meneruskan operasi pembersihan kawasan yang terjejas kerana letupan itu.

Trump menelefon Presiden Ashraf Ghani untuk menyampaikan takziah, berkata yang waktu serangan semasa bulan Ramadan itu mengukuhkan “ sikap barbarik pengganas yang merupakan musuh kepada semua manusia bertamadun”.

“Dia juga memuji pasukan keselamatan Afgan atas tindakan pantas mereka mempertahankan rakyat Afgan daripada musuh yang mahu menafikan keselamatan dan kesejahteraan yang berhak dimiliki rakyat (Afgan),” kata White House.

Serangan itu memuncakkan rasa tidak selamat di Afghanistan walaupun wujud pengkalan tentera NATO, yang juga bergelut untuk memerangi puak pemberontak.

Ghani mengecam pengeboman itu, serangan terburuk di Kabul sejak pentadbiran Taliban jatuh pada 2001 susulan pencerobohan Amerika Syarikat, menyifatkannya sebagai “jenayah perang”.

Letupan itu merosakan beberapa kedutaan di kawasan itu, yang menempatkan bangunan diplomatik dan kerajaan dan dikelilingi dinding konkrit tebal, penghalang kenderaan serta dikawal pasukan keselamatan bersenjata.

Sekurang-kurangnya 11 pegawal warga Afghan yang bekerja di Kedutaan Amerika Syarikat antara yang terbunuh dan 11 warganegara Amerika yang bekerja sebagai kontraktor di Kabul antara yang cedera.

Menteri Luar Jerman Sigmar Gabriel menyifatkan serangan “keji” itu berlaku dalam “kawasan berhampiran” dengan kedutaan Jerman dan seorang pengawalnya warga Afgan turut terkorban.

Perancis, India, Turki, Jepun dan Emiriah Arab Bersatu serta Bulgaria juga melaporkan kerosakan kepada pejabat kedutaan mereka.

Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres meluahkan “kebencian” kepada serangan itu yang disifatkannya sebagai memperkukuhkan kenyataan yang usaha segera perlu dilakukan bagi menentang keganasan dan puak pelampau.

Lampu di Menara Eiffel ditutup Rabu malam lalu bagi menghormati mereka yang terkorban. Lampu monumen itu turut ditutup pada Selasa selepas pengeboman berani mati di Banghad membunuh sekurang-kurangnya 42 orang. – AFP, 1 Jun, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen