SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan mengambil beberapa dokumen daripada pejabat Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli semalam.
Sumber agensi antirasuah itu berkata tindakan tersebut bagi membantu siasatan terhadap pengisytiharan aset Rafizi berhubung syarikat analisis datanya Invoke Solutions Sdn Bhd.
Sumber itu menafikan SPRM menyerbu pejabat syarikat itu, seperti yang didakwa Rafizi malam tadi.
“Bukan serbuan. Kami hanya ambil dokumen susulan laporan yang dibuat oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kami akan menyiasat setiap laporan yang dibuat,” kata sumber SPRM.
Ketika berucap pada ceramah Ceramah Mega Ayuh Malaysia, Kita Boleh di Wangsa Maju malam tadi Rafizi mendedahkan SPRM menyerbu pejabat Invoke, dan kakitangannya disoal siasat selama tujuh jam.
Katanya, serbuan berkenaan tamat sekitar jam 9 malam.
Beliau membidas SPRM kerana menjadi alat politik kerana segera menyiasat dirinya, tetapi tidak mengambil tindakan terhadap dakwaan projek kapal tempur pesisir (LCS) dan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion yang didedahkannya sebelum ini.
“Kenapa tidak mengambil sebarang tindakan terhadap kes rasuah yang didedahkannya termasuk dakwaan salah laku yang melibatkan skandal kapal tempur pesisir (LCS)?
“Mana maruah awak SPRM? Rakyat membangkitkan LCS, isu berkaitan keselamatan negara dan infrastruktur tebatan banjir, yang mana bukti telah disediakan – namun siapa yang mereka putuskan untuk mengejar? Budak kecil,” katanya.
Baru-baru ini, NGO Pertubuhan Jalinan Perpaduan Malaysia membuat laporan kepada SPRM terhadap Rafizi berhubung pengisytiharan asetnya sebagai calon Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pergerakan itu mempersoalkan sumber dana RM16 juta untuk Invoke, seperti yang dinyatakan dalam pengisytiharan aset Rafizi.
Rafizi juga berdepan tindakan undang-undang daripada Menteri Alam Sekitar dan Air yang juga Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tindakan saman itu berhubung kenyataan Rafizi mendakwa menteri itu telah memberi kelulusan projek tebatan banjir bernilai RM2 bilion selepas pembubaran Parlimen.
Dalam ceramah malam tadi, Rafizi juga berkata beliau akan mendedahkan lebih banyak maklumat mengenai kelulusan projek tersebut hari ini.
“Tuan Ibrahim fikir saya hanya ada satu dokumen untuk didedahkan, jadi dia panik dan mengancam untuk menyaman saya.
“Biasanya, apabila saya dedahkan sesuatu, saya boleh heret selama berbulan-bulan. Esok (hari ini) jam 11.30 pagi, saya akan menyampaikan tamparan maut kepada PAS dan Perikatan Nasional (PN).
“Saya akan tunjukkan memang ada projek yang diluluskan selepas Parlimen dibubarkan. Saya mahu lihat bagaimana PN bertindak balas,” katanya.
Beliau mendakwa Kementerian Alam Sekitar dan Air sedang dalam proses untuk menganugerahkan tender secara rundingan terus kepada sebuah syarikat kontraktor menerusi surat bertarikh 7 Oktober 2022, sedangkan ia tidak boleh dibuat oleh kerajaan sementara.
Susulan dakwaan itu, Tuan Ibrahim menjelaskan surat yang ditunjukkan Rafizi bukan dikeluarkan beliau atau kementeriannya, selain tarikh surat dikeluarkan sebelum Parlimen dibubarkan. – 16 November, 2022.
Komen