Nilaian akal dan kehendak hati PRU15


Izmil Amri

“APA tawaran awak untuk pengundi?”

“Tak ada. Saya bukan datang untuk tawar menawar,” ujar si calon dengan wajah penuh yakin.

“Habis kami dapat apa?” Pengundi resah.

“Saya datang bawa amaran dan peringatan.” Amboi dia, garang betul. “Kalau encik tak undi saya atau parti saya, seluruh negara ini akan jahanam.”

“Itu je?”

“Ada lagi,” dia kata.

“Apa dia?”

“Kalau encik undi parti satu lagi tu, orang Cina akan berkuasa!”

Hadirin di kedai kopi terdiam. Mereka saling memandang. Lalu dengan sekelip mata mereka ketawa terbahak-bahak. Ada yang mengesat air mata, ada yang terkentut-kentut.

“Kau orang dah kenapa?” ujar si calon, sambil jentera MCA yang membontotnya berlalu pergi, menyumpah seranah tanpa henti.

Sketsa di atas adalah fiksyen, pastinya. Namun bukan sesuatu yang mustahil terjadi. Bahkan sesuatu yang lebih kurang sama turut terjadi kepada calon Pakatan Harapan (PH) di Ayer Hitam Sheikh Omar Ali pada hari penamaan calon.

“Barua Cina!” jerit penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN) kepada Sheikh Omar, ketika beliau melintas mereka. Demikian pastinya kerana Sheikh Omar itu calon DAP. Insiden ini beliau kongsikan di media sosial.

Yang kelakarnya, penyokong-penyokong BN ini lupa bahawa mereka semuanya memakai baju yang tertulis nama calon BN Wee Ka Seong. Berketurunan Cina tentunya.

Inilah dia kenapa saya sering mengulang bahawa dalam perlawanan politik di tanah air kita ini adalah soal perlawanan antara hati dan akal; hati akan sentiasa menang dan akal terbiar buntu tidak berfikir.

Demikian juga halnya dengan seorang pengundi Permatang Pauh yang diwawancara sebuah portal media yang diberi makan oleh Umno.

“Duduk di Kuala Lumpur, jadi wakil di sini, macam mana?” ujar sang pengundi mempersoal calon Permatang Pauh Nurul Izzah Anwar.

Beginilah caranya rejim memperbodohkan orang. Ismail Sabri ahli Parlimen Bera, dia duduk Bera? Ahmad Zahid Hamidi duduk di Bagan Datuk? 

Najib Razak duduk di Pekan? Tak makcik, Najib Razak duduk penjara. 

Nurul Izzah bukan ketua menteri Permatang Pauh. Kerja Nurul Izzah di Parlimen. Bukan kerja Nurul Izzah nak selamatkan kucing terperangkap dan longkang tersumbat belakang rumah awak. Tapi ya, ikut sangat cakap hati penuh emosi. Akal tidak berguna lagi.

Sebab itu saya begitu yakin dan percaya bahawa merangka manifesto untuk dijamah akal adalah kerja yang hampir sia-sia.

Manifesto

BN telah mengumumkan manifestonya, yang dipasarkan sebagai ‘Perancangan Amal dan Usaha’ atau pendeknya PADU. Bunyi macam menarik walaupun janjinya mengalahkan bulan dan bintang. 

Bak kata tukang review makanan tersohor di media sosial, ‘Padu beb!’. Mungkin di situlah ditemukan akal untuk menjenamakan dokumen janji manis ini.

PH juga terlebih dahulu telah meluncurkan dokumen manifestonya. PDF dokumen ini 98 muka surat semua sekali. 

Meski saya orangnya suka membaca, saya tak baca habis. Pun begitu terkejut juga saya apabila majoriti maklum balas yang saya terima di media sosial menyatakan keinginan atau sekurang-kurangnya berminat untuk membaca dokumen terbabit. Namun kemudian tidak begitu bercakap tentangnya lagi.

Saya cuma teruja dengan laman web untuk memuat-turun manifesto itu: kitaboleh dot com. 

Ini kerana saya tidak dapat mengelak daripada melihat kalimat ‘kitab’ di huruf-huruf awal alamat laman web itu, yang juga merupakan slogan pilihan raya PH kali ini. 

Teringat ayat ‘manifesto bukan kitab suci’ yang sehingga kini masih menjadi bahan ejekan ramai orang.

Sebenarnya, iyalah, manifesto memang bukan kitab suci. Apatah lagi jika dikarang dengan harapan supaya orang terpesona dengan janji-janji manis parti politik yang sedang punya keyakinan tinggi untuk menang pilihan raya dan mendapatkan kuasa.

PH, sejak memperkenalkan Buku Jingga ketika ia masih bergabung dengan PAS dalam Pakatan Rakyat, belum banyak berganjak daripada tonggak-tonggak utama dokumen terbabit.

Jika seperti saya anda juga malas membaca keseluruhan hampir seratus muka surat Tawaran Harapan PRU15, para penyusun manifesto terbabit telah pun memudahkannya kepada 10 keutamaan. Dan kalau diteliti, sebenarnya tak ada banyak beza kecuali beberapa perkara, bertepatan dengan situasi negara pasca Covid-19.

Apa yang menarik bagi saya ialah bagaimana manifesto sering disusun dengan struktur yang sama sejak bertahun-tahun lama.

Ekonomi sentiasa di hadapan, diikuti persoalan penambahbaikan institusi. Hal ehwal wanita, Sabah dan Sarawak, serta alam sekitar sentiasa duduk di hujung-hujung. Kenapa? Tidaklah saya tahu.

Mungkin akan tiba suatu hari ketika ekonomi dan wanita boleh dipersembahkan dalam satu perenggan. 

Sebagai ibu, isteri, kakak atau anak yang menjaga hal ehwal perbelanjaan keluarga, termasuk ibu bapa yang lanjut usia, sebenarnya wanita adalah kuasa besar ekonomi Malaysia. Justeru mungkin sebenarnya apa yang rakyat mahu ialah supaya kuasa itu diiktiraf dan diberi perhatian nombor satu.

Pun begitu, hakikatnya manifesto tidak begitu dipedulikan ramai orang. Apatah lagi oleh gerombolan yang berkempen memujuk faktor hati, dengan kebencian, sentimen perkauman dan keagamaan. 

Inilah sebabnya golongan seperti ini begitu takut untuk berdebat. Satu, kerana mereka sendiri pun tidak tahu apa dasar polisi mereka untuk diperdebatkan. Dua, kerana emosi kalau dibahaskan secara rasional, tidaklah berguna lagi sebagai modal kempen.

Debat

Sebut tentang debat, calon-calon perdana menteri setiap gabungan sepatutnya berani untuk saling berdepan dan mempersembahkan tawaran masing-masing kepada seluruh negara.

Anwar Ibrahim tentunya siap sedia untuk mempertontonkan kepetahannya berpidato. Muhyiddin Yassin pun apa kurangnya, masih punya cita-cita. Berikan sahaja mereka mikrofon seorang satu dan suruh berdiri depan kamera.

Namun timbul sedikit masalah di pihak BN yang kononnya menawarkan Ismail Sabri sebagai calon PM, tetapi dikhuatiri akan dikhianati oleh presiden Umno sendiri. Apatah lagi setelah Zahid telah terlebih dahulu menggugurkan demikian ramai calon-calon yang menganggotai Kabinet Ismail Sabri. 

Seperti sebuah rahsia yang diketahui semua orang, Zahid hampir pasti akan menjadi calon PM Umno-BN.

Lebih menarik lagi, PAS pula telah mengisytiharkan bahawa ia juga terbuka untuk membentuk kerajaan bersama BN. Satu tamparan ke muka Muhyiddin, dan sebaldi ludah yang harus ditelan oleh para penceramah PAS yang sudah beberapa lama berkempen melawan BN, hatta melabel hilang iman dan masuk neraka jika mengundi selain PAS dan PN.

Mereka ini sepatutnya dibiar bersemuka dan diberi peluang mempamerkan wajah sebenar masing-masing. Tetapi, iyalah, debat bukan budaya kita kan?

Atas sebab inilah negara ini akan kekal terperangkap dalam sebuah ilusi demokrasi yang membenarkan kehendak hati dan membungkam perkembangan akal masyarakat.

Lalu pada akhirnya nanti, yang menang dan kenyang adalah kleptokrat yang serupa. Lalu kita pun menyesal sambil mencari stok telur di pasar raya yang kian naik harga. Waktu itu akal akan menyumpah hati dan perasaan. Mereputlah untuk lima tahun lagi. Nak maki pun dah tak larat. – 16 November, 2022.   

* Izmil Amri, berasal dari Pulau Pinang dan sering gagal dalam banyak hal. Kini seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen