Masalah mekanikal punca stesen LRT Jelatek sesak, kata Rapid Rail


MASALAH mekanikal pada tren menjadi punca berlaku kesesakan di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Jelatek seperti yang tular di media sosial pagi ini.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) dalam satu kenyataan memaklumkan tren bernombor 59 itu dikeluarkan daripada perkhidmatan pada 8.19 pagi selepas pihak pusat kawalan (OCC) mengesan masalah berkaitan “tachometer” yang dalam proses penggantian dan penambahbaikan.

“Penumpang telah diminta turun di Stesen LRT Jelatek dan mendapatkan tren seterusnya, yang merupakan sebahagian daripada prosedur operasi bagi memastikan keselamatann serta kelancaran operasi tren,’’ menurut kenyataan itu.

Rapid Rail memaklumkan proses mengeluarkan tren tersebut mengambil masa tiga minit dan pelarasan semula kekerapan tren selama 10 minit itu menyebabkan berlaku sedikit kesesakan di platform kerana jumlah penumpang yang tinggi pada waktu kemuncak.

Menurut Rapid Rail tren gantian bernombor 54 dimasukkan bagi mengekalkan kekerapan tren selama lima minit, manakala tren yang mengalami masalah telah dibawa ke depoh penyelenggaraan Rapid Rail di Subang.

“Program penggantian ‘tachometer’ telah bermula dan Rapid Rail sedang dalam proses penerimaan  alat tersebut yang telah ditempah dan akan diterima secara berkala dari sekarang hingga pertengahan tahun 2023.  Kami sedang berunding dengan pihak pembekal bagi mempercepatkan penghantaran,’’ menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Rapid Rail juga memaklumkan kesesakan di Stesen KLCC pula berpunca daripada tiga pintu yang mempunyai masalah ketika tren bernombor 10 tiba di stesen KLCC pada 7.53 pagi tadi.

“Kami mendapati pintu platform berfungsi secara normal pada tren-tren lain dan pihak operasi telah mengeluarkan tren tersebut untuk menjalani pemeriksaan lanjut di depoh Subang.

“Rapid Rail akan menjalankan pemeriksaan dan ujian terhadap sistem komunikasi antara pintu tren dan pintu di platform selepas waktu operasi tamat pada hari ini bagi mengenal pasti punca dan seterusnya membaiki masalah tersebut,” menurut kenyataan itu.

Perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya yang mula beroperasi sejak 1998 sedang dalam proses dinaik taraf secara menyeluruh bagi beberapa sistem, komponen dan infrastruktur.

“Program ini dalam proses dilaksanakan dan akan diselesaikan secara berperingkat. Rapid Rail ingin memberi jaminan bahawa keselamatan penumpang sentiasa menjadi keutamaan dan kami memohon maaf atas gangguan yang berlaku serta ketidaksenangan penumpang yang menggunakan perkhidmatan kami,” menurut Rapid Rail. – Bernama, 15 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen