Iran selar sekatan baharu EU


Iran mengecam keras tindakan Kesatuan Eropah yang mengenakan sekatan baharu susulan tindakan keras republik Islam itu terhadap protes yang tercetus berikutan kematian Mahsa Amani dalam tahanan. – Gambar EPA, 15 November, 2022.

IRAN pada Selasa mengecam keras dan mengancam untuk bertindak balas terhadap sekatan baharu Kesatuan Eropah (EU) yang dibuat berikutan tindakan keras republik Islam itu terhadap protes.

“Dengan kebergantungan mereka kepada sekatan, orang Eropah hilang semua rasional dan keseriusan,” kata jurucakap kementerian luar Nasser Kanani dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi berita rasmi IRNA.

“Iran akan bertindak balas secara berkesan dan tegas terhadap tindakan Eropah yang tidak membina itu,” tambahnya.

Pada Isnin, EU mengumumkan sekatan lanjut ke atas Iran sebagai tindak balas susulan tindakan keras terhadap protes yang tercetus selepas Mahsa Amini yang ditahan maut dalam tahanan pada 16 September.

Larangan visa dan pembekuan aset dikenakan kepada 29 pegawai Iran, termasuk menteri dalam negeri republik itu, bersama tiga institusi.

Antara organisasi itu ialah penyiar milik negara Iran Press TV, yang dituduh EU menayangkan “pengakuan paksa tahanan”.

“Pendekatan salah EU… mengurangkan skop hubungannya”, kata Kanani.

Senarai sekatan EU terhadap Iran telah mencecah 126 orang dan 11 institusi setakat ini. – AFP, 15 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen