PBB, IRCR gesa sokongan global lindungi orang awam daripada 'explosive weapons'


Ketua tiga entiti PBB dan Presiden ICRC menggesa semua negara menyokong deklarasi baharu politik untuk melindungi orang awam daripada pelbagai jenis explosive weapons. – Gambar AFP, 15 November, 2022.   

KETUA tiga entiti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Presiden Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) menggesa semua negara menyokong deklarasi baharu politik untuk melindungi orang awam daripada pelbagai jenis explosive weapons.

Mereka ialah Wakil Tinggi PBB bagi Hal Ehwal Perlucutan Senjata Izumi Nakamitsu, Setiausaha Agung PBB bagi Hal Ehwal Kemanusiaan dan Penyelaras Bantuan Kecemasan Martin Griffiths, Pengarah Eksekutif UNICEF Catherine Russell dan Presiden ICRC Mirjana Spoljaric.

Mereka merayu semua negara menyokong deklarasi mengenai “Memperkukuh Perlindungan Orang Awam daripada Kesan Kemanusiaan yang Muncul akibat Penggunaan Explosive Weapons di Kawasan Berpenduduk.”

“Dalam konflik di seluruh dunia orang awam terus menanggung akibat buruk penggunaan senjata itu.

“Apabila digunakan di bandar, pekan dan kampung, senjata ini selalunya mempunyai kesan yang jauh melebihi sasarannya.

“Ia meragut nyawa dan mencederakan…menyebabkan kemusnahan yang meluas dan menjejaskan orang ramai daripada keperluan asas yang penting seperti air dan sanitasi, elektrik, penjagaan kesihatan dan pendidikan,” menurut kenyataan bersama UN-ICRC yang disediakan kepada Bernama.

Explosive weapons merujuk kepada bom dan peluru berpandu, sistem senjata api seperti mortar, roket dan artileri, pelancar roket berbilang laras dan bom buatan sendiri (IED). 

Kenyataan itu menyatakan pengisytiharan baharu itu mewakili pencapaian kolektif utama dalam melindungi orang awam daripada peningkatan konflik bersenjata di kawasan bandar, menghantar isyarat kuat ke seluruh dunia bahawa ‘mencederakan orang awam dan merosakkan bandar bukanlah satu realiti yang harus kita terima’.

Pengisytiharan itu akan dilancarkan pada persidangan pengesahan di Dublin, Ireland pada 18 November 2022 selepas tiga tahun berunding.

Dalam dekad lepas momentum untuk pengisytiharan politik meningkat dengan ketara termasuk melalui inisiatif serantau dan advokasi masyarakat sivil.

Nakamitsu akan mewakili PBB pada majlis menandatangani perjanjian berkenaan dan menyampaikan mesej bagi pihak Setiausaha Agung PBB António Guterres untuk menandakan peristiwa penting itu. Spoljaric akan mewakili ICRC.

Majlis menandatangani perjanjian akan disiarkan secara langsung di saluran YouTube Jabatan Hal Ehwal Luar Ireland di https://www.youtube.com/c/irishforeignministry. – Bernama, 15 November, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen