GOOGLE semalam bersetuju membayar AS$392 juta kepada 40 negeri di Amerika Syarikat bagi menyelesaikan tuduhan terhadap gergasi enjin carian itu yang didakwa mengelirukan pengguna untuk mempercayai penjejakan lokasi pada peranti mereka sudah dimatikan.
Kenyataan oleh Peguam Negara Oregon Ellen Rosenblum berkata ia merupakan penyelesaian privasi berbilang negeri terbesar oleh pihak berkuasa dalam sejarah AS dan termasuk komitmen mengikat Google untuk pendedahan yang lebih baik kepada pelanggannya.
Rosenblum berkata Google “licik dan menipu” ketika mereka mengumumkan persetujuan syarikat untuk membayar bagi menamatkan kes itu.
“Pengguna menyangka mereka mematikan ciri penjejakan lokasi mereka di Google tetapi syarikat itu terus merekodkan pergerakan mereka secara rahsia dan menggunakan maklumat itu untuk pengiklan,” tambahnya.
Tuntutan bersama yang jarang berlaku oleh 40 negeri itu berpunca daripada kelewatan pihak berkuasa persekutuan untuk membanteras teknologi besar di tengah kesibukan perundangan di Washington.
Penggubal undang-undang Republikan dan Demokrat tidak bersetuju dengan peraturan negara berkenaan privasi dalam talian sekali gus menekan kepada syarikat teknologi untuk mengehadkan potensi pengesanannya.
Ini sangat berbeza dengan Eropah di mana gergasi teknologi AS berdepan peraturan ketat berkenaan privasi sejak 2018 dengan Google, Amazon dan lain-lain dikenakan denda yang tinggi jika berlaku pelanggaran.
Di Korea Selatan Google dan Meta pada September didenda AS$71 juta secara bersama kerana mengumpul maklumat peribadi pengguna tanpa kebenaran untuk menyalurkan iklan. – AFP, 15 November, 2022.
Komen