KONZA Technopolis, bandar pintar Kenya, menarik pelabur China ke hab teknologi itu dan semakin banyak lagi pelabur akan menyertainya untuk meningkatkan status Kenya sebagai hab teknologi serantau, lapor Xinhua.
Pengurus ICT (teknologi maklumat dan komunikasi) dan Penyelesaian Bandar Pintar di Konza Technopolis, Lucas Omollo, berkata firma teknologi China Huawei juga telah menyiapkan pembangunan pusat data di bandar pintar itu.
“Konza Technopolis memberi peluang kepada pelabur lain dari China untuk menyertainya bagi meningkatkan status Kenya sebagai hab teknologi serantau,” kata Omollo.
Konza Technopolis ialah bandar teknologi yang terletak kira-kira 70km ke selatan dari Nairobi menuju ke bandar pelabuhan timur Mombasa.
Omollo berkata beliau mendapati Kenya berminat untuk memanfaatkan teknologi termaju China dalam sektor seperti sistem pengangkutan awam pintar, tenaga boleh baharu, kecerdasan buatan, teknologi kewangan, pendigitalan dan robotik.
Beliau berkata pelaburan setakat ini hanya meliputi fasa satu bandar Konza manakala fasa dua sedia untuk pelabur teknologi.
Omollo berkata bandar pintar Konza adalah antara projek utama dalam rangka tindakan pembangunan wawasan 2030 negara yang bertujuan untuk mengubah landskap teknologi melalui penjanaan pengetahuan.
Jika menjadi kenyataan, Konza bakal berperanan sebagai penggerak penting untuk pertumbuhan ekonomi, pendidikan dan pekerjaan untuk negara, kata Omollo.
Kenya menubuhkan Pihak Berkuasa Pembangunan Konza Technopolis sebagai entiti tujuan khas untuk memudahkan pembangunan Konza. Misinya adalah untuk memastikan Konza berkembang menjadi hab teknologi bertaraf dunia yang mampan serta menjadi pemacu utama ekonomi negara dengan gabungan perniagaan, pekerja, penduduk dan kemudahan bandar. – Bernama, 15 November, 2022.
Komen