Pemimpin Korea Selatan, China adakan sidang kemuncak pertama di Bali


Presiden Korea Selatan Yoon Suk-yeol dijangka menggunakan platform sidang kemuncak G20 bagi menggesa Beijing menggunakan apa sahaja kaedah yang ada untuk menghalang program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang. – Gambar EPA, 15 November, 2022.

PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk-yeol akan mengadakan sidang kemuncak pertama dengan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping di Bali pada Selasadengan isu Korea Utara akan mendominasi rundingan itu susulan dakwaan Pyongyang akan menjalankan satu lagi ujian nuklear, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kedua-dua pemimpin itu akan mengadakan pertemuan pada 5 petang waktu tempatan di luar sidang kemuncak Kumpulan 20 (G20), menurut kenyataan pejabat Presiden Korea Selatan. 

Yoon dijangka menggunakan platform sidang kemuncak itu bagi menggesa Beijing menggunakan apa sahaja kaedah yang ada untuk menghalang program nuklear dan peluru berpandu Pyongyang.

Ketegangan meningkat dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini apabila Korea Utara melancarkan peluru berpandu pada kadar yang tidak pernah berlaku sebelum ini termasuk simulasi serangan nuklear ke atas Korea Selatan.

Kali terakhir pemimpin Korea Selatan dan China bertemu adalah pada Disember 2019 ketika Presiden Moon Jae-in mengadakan pertemuan dua hala dengan Xi di luar sidang kemuncak Korea Selatan-China-Jepun di Beijing. – Bernama, 15 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen