PM Singapura sertai perbincangan keselamatan makanan dan tenaga G20


Sidang Kemuncak G20 bawah teraju Indonesia sebagai Presiden buat kali pertama dengan tema 'Recover Together, Recover Stronger', dijangka menghasilkan Deklarasi Pemimpin bagi menyokong pemulihan dunia secara pantas bersama. – Gambar AFP, 15 November, 2022.

PERDANA Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan menyertai perbincangan mengenai keselamatan makanan dan tenaga, kesihatan serta transformasi digital pada Sidang Kemuncak G20 di Bali, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) republik itu.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan di laman sesawangnya, PMO memaklumkan Lee akan menghadiri Sidang Kemuncak G20 selama tiga hari sehingga 16 Nov atas undangan Presiden Indonesia Joko Widodo selaku tuan rumah G20 2022.

Lee juga akan mengadakan pertemuan dua hala dengan pemimpin lain di luar sidang kemuncak itu.

Beliau diiringi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong, Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan dan pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Kewangan dan Kementerian Luar Negeri.

Semasa ketiadaan Lee, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara, Teo Chee Hean akan memangku jawatan perdana menteri.

PMO memaklumkan bagi menangani landskap global politik dan ekonomi yang mencabar, Indonesia akan mengetuai perbincangan pemulihan global pascapandemik yang lebih kukuh dan berdaya tahan di bawah tema “Recover Together, Recover Stronger”.

Sebuah media tempatan di Singapura melaporkan Singapura bukan ahli G20 tetapi negara itu diundang untuk mengambil bahagian dalam pelbagai sidang kemuncak yang lalu dan mesyuarat berkaitan sebagai peneraju Kumpulan Tadbir Urus Global (3G) - kumpulan tidak rasmi 30 ahli PBB. – Bernama, 15 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen