PERSAINGAN Amerika Syarikat (AS)-China tidak seharusnya berubah menjadi konflik dan kedua-dua negara mesti menguruskannya secara bertanggungjawab selain mengekalkan komunikasi yang terbuka, kata Presiden Joe Biden.
Biden dan pemimpin China Xi Jinping membincangkan kepentingan membangunkan prinsip ke arah memajukan matlamat ini dan menugaskan pasukan mereka untuk membincangkannya dengan lebih lanjut.
Pertemuan pada Isnin itu diadakan di Bali menjelang sidang kemuncak G-20 dan kedua-dua pemimpin bercakap mengenai keutamaan dan hasrat masing-masing merentasi pelbagai isu, menurut kenyataan Rumah Putih memetik Biden sebagai berkata.
Biden menjelaskan AS akan terus bersaing dengan China termasuk melabur di dalam negara dan menyelaraskan usaha dengan sekutu serta rakan kongsi di seluruh dunia.
Beliau berkata: “AS dan China mesti bekerjasama untuk menangani cabaran seperti perubahan iklim, kestabilan makroekonomi global termasuk pelepasan hutang, keselamatan kesihatan dan keselamatan makanan global, sebagaimana diharapkan masyarakat antarabangsa.”
Kedua-dua pemimpin sepakat memberi kuasa kepada pegawai kanan mereka untuk mengekalkan komunikasi dan mempergiat usaha ke arah isu-isu berkenaan termasuk hal-hal lain.
Setiausaha Negara AS Antony Blinken akan melawat China untuk mengadakan perbincangan lanjut.
Rundingan yang berlangsung selama tiga jam itu juga mengalu-alukan usaha berterusan dalam menangani isu khusus membabitkan hubungan dua hala AS-China dan menggalakkan kemajuan selanjutnya menerusi mekanisme sedia ada termasuk melalui kumpulan kerja bersama. – Bernama, 15 November, 2022.
Komen