KERAJAAN Australia memuji peranan Indonesia melancarkan Dana Pandemik G20, sambil menyatakan harapannya supaya dana itu dapat meningkatkan pencegahan, kesiapsiagaan serta tindak balas wabak pada masa hadapan.
Presiden Indonesia Joko Widodo melancarkan dana pengantara kewangan global baharu pada Ahad, dengan komitmen kewangan lebih AS$1.4 bilion setakat ini.
“Ada konsensus yang jelas dunia perlu lebih bersedia untuk bertindak balas terhadap peristiwa masa depan dengan perkongsian kewangan global merupakan sebahagian daripadanya,” kata Perdana Menteri Australia Anthony Albanese dalam satu kenyataan.
“Saya menyambut baik kepimpinan Indonesia sebagai presiden G20 dalam menubuhkan Dana Pandemik dan diharapkan dapat membentuk perancangan untuk menghadapi pandemik pada masa depan.”
Australia menyumbang 50 juta dolar Australia kepada Dana Pandemik bagi melengkapkan sumbangan negara itu yang bernilai 838 juta dolar Australia untuk menyokong akses vaksin di peringkat serantau dan global.
Dana ini menyediakan aliran pembiayaan khusus jangka panjang tambahan untuk mengukuhkan kesediaan menghadapi wabak selain keupayaan untuk negara berpendapatan rendah dan sederhana bertindak balas.
Ia diuruskan oleh Bank Dunia dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia untuk menangani jurang kritikal melalui pelaburan dan sokongan teknikal di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa. – Bernama, 15 November, 2022.
Komen