Cuti 18, 19 November untuk rakyat balik mengundi, umum Ismail Sabri


PERDANA Menteri Sementara Ismail Sabri Yaakob mengumumkan cuti umum pada Jumaat dan Sabtu ini untuk memudahkan urusan rakyat keluar mengundi.

“Kerajaan menetapkan hari Jumaat dan Sabtu 18 dan 19 November sebagai hari kelepasan am bagi memudahkan urusan keluarga Malaysia mengundi,” katanya ketika berucap di majlis pecah tanah bangunan Cuepacs, di Putrajaya.

Pengundian bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ditetapkan pada Sabtu, 19 November.

Jelas Ismail Sabri, dua hari itu diisytiharkan cuti umum kerana ada syarikat swasta yang masih bekerja pada hari pengundian.

Bagi memudahkan pergerakan pengundi, Ismail Sabri juga mengumumkan persetujuan 30 pemilik konsesi lebuh raya untuk tidak mengenakan bayaran tol dua hari pada 18 dan 19 November.

Tol percuma dikuatkuasakan antara 12.01 tengah malam 18 November hingga 11.59 malam 19 November.

Pada masa sama, gaji penjawat awam bagi bulan ini akan dibayar awal pada 17 November, sementara pencen kepada pesara dibayar hari ini, tambah perdana menteri.

Sebelum ini, tiga negeri bawah Pakatan Harapan – Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan – mengumumkan cuti umum pada 18 November untuk memudahkan pengundi di luar daerah balik mengundi keesokan harinya.

Tiga negeri ini, bersama tiga lagi negeri yang ditadbir Perikatan Nasional diterajui PAS iaitu Kedah, Kelantan, dan Terengganu, tidak mengadakan pilihan raya negeri serentak dengan pilihan raya umum.

Enam negeri itu tidak membubarkan dewan undangan negeri masing-masing kerana mahu memberi tumpuan kepada usaha menghadapi musim tengkujuh.

Sebelum ini juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin mengumumkan cuti sehari selepas hari mengundi, sama ada Ahad atau Isnin mengikut cuti rehat mingguan negeri-negeri.

Ia juga bagi memudahkan pengundi mengatur perjalanan selepas mengundi, kata Muhyiddin, semasa mengumumkan tawaran PN untuk pilihan raya umum ini, minggu lepas.

Semasa PRU14, yang diadakan pada Rabu, pentadbiran bekas perdana menteri Najib Razak juga mengumumkan cuti pada hari pengundian. – 14 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen