PERDANA Menteri New Zealand Jacinda Ardern pada Isnin mengakhiri mesyuarat tahunan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) dan Dialog Global Asean Kedua mengenai Pemulihan Komprehensif Pasca Covid-19, dengan menaik taraf perjanjian perdagangan dengan Asean dan Australia.
Ardern berkata perjanjian perdagangan bebas (FTA) baharu antara New Zealand dengan Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) dan Australia dijangka dimeterai dan berkuat kuasa pada 2023, lapor Xinhua.
“Memandangkan dunia merasakan tekanan ekonomi global, kepentingan untuk mendapatkan perjanjian perdagangan bebas yang berkualiti tinggi adalah penting untuk menjamin keselamatan ekonomi rakyat New Zealand,” katanya.
Ardern berkata, perjanjian yang dinaiktaraf kepada FTA Asean-Australia-New Zealand mengukuhkan lagi hubungan perdagangan dengan Asean, mengurangkan kerenah birokrasi dan kos perniagaan serta menjamin keselamatan ekonomi kepada rakyat New Zealand
Asean telah menjadi rakan dagangan ketiga terbesar New Zealand.
Menurut statistik, New Zealand mengeksport lebih 7 bilion dolar NZ (AS$4.27 bilion) barangan dan perkhidmatan ke 10 negara Asean, menyamai hampir 10 peratus daripada jumlah eksport New Zealand pada 2021. – Bernama, 14 November, 2022.
Komen