Slovenia pilih presiden wanita pertama


Natasa Pirc Musar, 54, akan mengangkat sumpah jawatan presiden Slovenia pada 23 Disember apabila mandat penyandang presiden Borut Pahor tamat. – Gambar AFP, 14 November, 2022.

PENGUNDI Slovenia pada Ahad memilih Natasa Pirc Musar, calon bebas, sebagai presiden wanita pertama negara itu.

Musar akan mengangkat sumpah jawatan pada 23 Disember apabila mandat kedua penyandang presiden Borut Pahor tamat, lapor Xinhua.

Menurut keputusan awal selepas kira-kira 98 peratus undi dikira, Musar menerima 54 peratus undi berbanding 46 peratus undian kepada pesaingnya Anze Logar, yang merupakan bekas menteri luar dan ahli pembangkang berhaluan kanan Parti Demokratik Slovenia.

Pada pusingan pertama pemilihan presiden bulan lepas, Logar menerima undian terbanyak dalam kalangan tujuh calon dengan Musar meraih tempat kedua. Dua calon yang berkedudukan terbaik bersaing di pusingan kedua.

Musar, 54, ialah seorang peguam, bekas wartawan dan bekas Pesuruhjaya Maklumat negara yang menyelia keselamatan data peribadi dan capaian umum kepada maklumat awam di negara ini.

Beliau bertanding sebagai calon bebas namun semasa pusingan kedua, beliau disokong oleh Gerakan Kebebasan kiri tengah Perdana Menteri Robert Golob dan rakan gabungannya, Demokrat Sosial.

Walaupun peranan presiden Slovenia hanya bersifat istiadat, presiden adalah ketua tentera Slovenia dan mempunyai hak untuk mencalonkan ramai pegawai tinggi. Kebanyakan pencalonan perlu disahkan oleh parlimen. – Bernama, 14 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen