Presiden China, PM Australia akan duduk berbincang di Bali esok


Pertemuan antara Perdana Menteri Australia dan Presiden China Xi Jin Ping di Bali esok akan menjadi pertemuan pemimpin pertama antara kedua-dua negara selepas bertahun-tahun hubungan yang keruh. – Gambar AFP, 14 November, 2022.

PERDANA Menteri Australia Anthony Albanese berkata beliau akan mengadakan perbincangan Presiden China Xi Jinping di Bali, Indonesia pada Selasa.

Ia sekali gus menjadi pertemuan pemimpin pertama antara kedua-dua negara selepas bertahun-tahun hubungan yang keruh.

“Kami masuk untuk perbincangan ini dengan muhibah. Tiada prasyarat dalam perbincangan ini. Saya tidak sabar untuk mengadakan dialog yang membina,” kata Albanese kepada media ketika mendarat di pulau peranginan itu untuk sidang kemuncak G20.

Pemimpin Australia dan China mengadakan pertukaran ringkas pada sidang kemuncak G20 2019 di Jepun, tetapi tidak mengadakan pertemuan rasmi sejak lima tahun.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Australia, tetapi hubungan merosot berikutan pertikaian mengenai pengaruh dan tingkah laku China di rantau Asia-Pasifik.

Malah hubungan dua negara itu lebih memburuk selepas Canberra menggesa penyiasatan mengenai asal-usul pandemik Covid-19.

Baru-baru ini, cita-cita Beijing di Pasifik telah menimbulkan kebimbangan Canberra, begitu juga dengan penahanan China terhadap warga Australia, termasuk wartawan Cheng Lei.

Hubungan peringkat menteri antara Australia dan China disambung semula pada Jun selepas terhenti dua tahun.

“Australia akan mengemukakan pendirian kami sendiri. Saya berharap untuk mengadakan perbincangan yang membina dengan Xi esok,” kata Albanese. – AFP, 14 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen