CRISTIANO Ronaldo berkata beliau rasa dikhianati oleh Manchester United dan mendakwa pengurus pasukan Erik ten Hag dan eksekutif kanan yang lain cuba memaksanya keluar daripada kelab itu, dalam satu temu bual menggemparkan semalam.
Pemenang lima kali anugerah Ballon d’Or itu menjadi antara pemain terpinggir untuk United sejak Ten Hag mengambil alih pasukan pada Mei.
Ronaldo dikenakan tindakan disiplin selepas enggan menjadi pemain gantian dalam perlawanan melawan Tottenham bulan lalu, tetapi kembali semula beberapa minggu terakhir ini dan malah menggalas tugas kapten Red Devils ketika melawan Aston Villa hujung minggu lalu tetapi kalah 3-1.
Bagaimanapun, Ronaldo, 37, tidak ada dalam skuad menentang Fulham pada Ahad di mana pasukan itu menang 2-1. Ia adalah perlawanan terakhir United sebelum cuti enam minggu sempana Piala Dunia.
“Saya tidak ada rasa hormat untuknya kerana dia juga tidak hormat syaa,” kata Ronaldo berkenaan Ten Hag dalam temu bual bersama Piers Morgan.
“Bukan saja jurulatih, tetapi dua tiga individu lagi dalam kelab itu. Saya rasa dikhianati.”
Ketika ditanya adakah eksekutif kanan kelab itu cuba menyingkirkannya, Ronaldo berkata:”Ya, saya rasa dikhianati dan saya rasa ada orang yang tidak mahu saya di sini, bukan tahun ini saja, tetapi tahun lepas juga.”
Ronaldo kembali ke Old Trafford pada Ogos 2021 dari Juventus.
Kemunculannya di United sangat gemilang di bawah pengurusan Alex Ferguson, menang tiga kejuaraan Liga Premier, Liga Juara-juara dan Ballon d’Or pertamanya sebagai pemain terbaik dunia.
Walaupun 24 gol dijaringkan dalam semua pertandingan musim lalu, United berdepan laluan sukar dan berada di tangga keenam dalam Liga Premier dan gagal melayakkan diri ke Liga Juara-juara.
Ronaldo dikatakan cuba untuk keluar kelab itu sebelum musim ini bermula tetapi tiada perjanjian dengan kelab lain dilaporkan. – AFP, 14 November, 2022.
Komen