6 terbunuh dalam serangan letupan di Istanbul


Enam terbunuh dalam satu insiden letupan di Dataran Istiklal di tengah Istanbul petang semalam. – Gambar AFP, 14 November, 2022.

SATU letupan berlaku di tengah kawasan beli-belah yang sibuk di Istanbul semalam, menyebabkan enam terbunuh dan berpuluh-puluh yang lain cedera.

Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan menyifatkan ia adalah serangan pengganas.

Polis terpaksa berkawal di kawasan sekitar insiden berlaku iaitu di Istiklal, di mana ia menjadi lokasi tumpuan ramai pada petang Ahad. Helikopter turut kelihatan berlegar di pusat bandar ketika siren dibunyikan.

“Melihat kepada tanda awal, ia adalah serangan keganasan,” kata Erdogan pada sidang akhbar.

Naib Presiden Turkiye Fuat Oktay berkata:”Kami percaya ia tindakan pengganas, dipercayai dilakukan seorang wanita yang meletupkan bom.”

Menteri Kehakiman Bekir Bozdag berkata seorang wanita dilihat duduk di kawasan bangku awam selama lebih 40 minit dan kemudian berdiri.

“Seminit dua selepas itu, satu letupan berlaku. Ada dua kemungkinan, sama ada bahan letupan diletakkan di dalam beg dan ia meletup, atau seseorang meletupkannya dari jarak jauh.

“Semua data mengenai wanita itu sedang diteliti,” katanya.

Bandar di Turki pernah beberapa kali diserang oleh ekstremis dan kumpulan pengganas lain sebelum ini.

Dataran Istiklal diserang pada 2015-2016 yang menyasarkan serangan terhadap Istanbul dan Ankara.

Letupan bom pada masa itu dikatakan dilakukan oleh kumpulan Islamic State, menyebabkan hampir 500 terbunuh dan lebih 2,000 yang lain cedera.

Insiden semalam berlaku kira-kira 4 petang di kawasan beli-belah yang popular dengan penduduk setempat dan pelancong. – AFP, 14 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen